KEMELUT politik yang berlaku di Melaka merupakan isu dalaman UMNO yang memerlukan penyelesaian yang datang dari pucuk pimpinan tertinggi parti.
Justeru, Naib Presiden parti tersebut, Datuk Seri Ismail Sabri menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menyelesaikan isu pergolakan Kerajaan Negeri berkenaan.
Memetik laporan Utusan Malaysia beliau yang juga Perdana Menteri berkata, difahamkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah mengadakan perbincangan dengan Ahmad Zahid.
“Isu (Kerajaan Negeri) Melaka ini saya serahkan kepada Presiden UMNO untuk menyelesaikannya. Lagipun ini melibatkan urusan parti,” katanya.
Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali telah tumbang kerana hilang sokongan majoriti selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan penarikan sokongan mereka terhadap Kerajaan Negeri Melaka.
Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Ismail Sabri berkata, beliau memahami kegusaran rakyat jika berlaku sekali lagi pilihan raya negeri (PRN) seperti di Sabah kerana ia menjadi punca peningkatan semula kes Covid-19. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.