Buat apa nak PRN … kalau Zahid kata “tak mengapa hilang kerajaan negeri”

0
600

DALAM reaksi tumbangnya kerajaan UMNO di Melaka,Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata;

’’Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri dikuasai parti saya. Tapi tunggulah… saya fikir elok diadakan pilihan raya negeri supaya DUN Melaka dibubarkan.

“Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan terbaik mentadbir negeri dan negara kita, insha-Allah.’’

Kalau benarlah Ahmad Zahid kata tidak mengapa hilang kerajaan negeri, kenapa hendak menyusahkan rakyat apabila mahu DUN dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan?

Kenapakah rakyat yang baru mahu bernafas semula selepas diancam pandemik Covid-19 harus diseret dalam pertelingkahan politik yang berpunca daripada krisis dalam UMNO?

Sepatutnya Ahmad Zahid ‘merelakan sahaja’ kerajaan negeri Melaka diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) tanpa perlu ada PRN. Lagipun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pun dah tak lama.

Tidakkah Ahmad Zahid memikirkan kesusahan rakyat?

Sampai bila UMNO mahu menyusahkan rakyat dan menghuru-harakan politik negara dengan agenda politik pemimpin-pemimpinnya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengepalai 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga beliau terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Kerajaan PN tumbang di peringkat pusat, sekarang Kerajaan UMNO di Melaka pula tumbang disebabkan angkara ADUN UMNO sendiri.

Betul ada empat ADUN yang bertindak di Melaka tetapi yang menjadi perhatian dua daripada UMNO, macam mana mereka boleh tergamak menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti mereka sendiri?

Jawapannya mudah, mereka mencontohi tindakan pemimpin pusat yang menjadikan majoriti tipis sebagai ‘senjata’ untuk menyingkirkan kerajaan biarpun mereka yang bersama-sama membentuk kerajaan.

Kalaulah tindakan dua UMNO itu dianggap tidak wajar ketika Melaka baru memasuki Fasa Ke-3 Pelan Pemulihan Negara, apa yang Ahmad Zahid lakukan dengan 14 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin lebih teruk.

Mereka melakukan ‘huru-hara’ politik itu ketika Muhyiddin bersama ahli-ahli Parlimen UMNO dalam Kabinet sedang bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19.

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan ketika itu, tetapi Ahmad Zahid mencanangkan slogan ‘kerajaan gagal’.

Tetapi sekarang ternyata apa yang dilakukan Muhyiddin telah menampakkan hasil.

Selain itu konflik Melaka juga seperti mana kata beberapa penganalisis politik menampakkan bagaimana UMNO di bawah kepemimpinan Ahmad Zahid kini semakin berantakan.  Ahmad Zahid semakin tidak mampu mengawal situasi dalaman parti itu.

Jika sebelum ini berlaku pertembungan antara ‘kluster menteri’ dengan ‘kluster majlis tertinggi’ sekarang di peringkat negeri pula wujud apa yang dipanggil ‘dua singa atas satu gunung’.

Kalau Ahmad Zahid benar-benar mempunyai cengkaman dalam UMNO sudah pasti kerajaan UMNO di Melaka tidak akan tumbang.

Walaupun dua ADUN UMNO itu amat memahami akibat yang mereka akan terima tetapi mereka sudah nekad untuk sanggup bersekongkol dengan PH bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baharu. Mereka tidak peduli pun apa Ahmad Zahid mahu buat.

Tambahan pula, kalau mahu bercakap soal bersekongkol ini, rasanya dua ADUN tersebut jauh ‘lebih baik’ daripada Ahmad Zahid kerana mereka melakukan secara terbuka berbanding Ahmad Zahid yang didakwa mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri secara senyap-senyap dan terbongkar rakaman audio mirip suara beliau.

Tetapi adakah kedua-dua isu dibincangkan oleh MKT?

Adakah Ahmad Zahid dikenakan apa-apa tindakan kerana dianggap melanggar dasar parti? Tidak ada! Sebaliknya keahlian dua ADUN itu dalam UMNO gugur secara automatik kerana mengadakan sidang akhbar dengan pemimpin PH.

Oleh itu tidak perlulah Ahmad Zahid menyusahkan rakyat Melaka apabila mahu DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

Tanyalah sesiapapun, bacalah reaksi rakyat dalam media sosial apabila Kerajaan UMNO tumbang di Melaka semalam, semuanya memberi reaksi negatif, mereka sudah bosan dan muak dengan kerenah politik yang dicetuskan oleh UMNO.

Sepatutnya Ahmad Zahid berasa malu kerana ketika beliau berdegar-degar bercakap bahawa ramai merisik mahu kembali ke dalam UMNO, sebaliknya yang berlaku ADUN UMNO sendiri menjatuhkan Kerajaan parti itu.

Kalau begitu keadaannya, adakah apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid tersebut satu kenyataan atau sekadar ‘mimpi indah pada siang hari’?

Cukuplah janganlah menyusahkan rakyat. Cukuplah Kerajaan Pusat bergolak kerana kerenah UMNO, tak kanlah ia hendak dibiarkan berlaku di negeri-negeri pula.

Ahmad Zahid dan pemimpin-pemimpin UMNO Melaka perlu berjiwa besar merelakan bahawa dari segi bilangan kerusi PH ada majoriti. Biarlah PH memerintah sehingga PRU-15.

Lepas itu UMNO rampaslah kembali, bukankah Ahmad Zahid begitu yakin UMNO akan bangkit dan mahu menjadi dominan dalam pilihan raya tersebut. Jadi bersabarlah, janganlah menyusahkan rakyat dengan percaturan politik yang tidak habis-habis oleh UMNO.

Rakyat dah muak!

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Penganalisis politik

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

SatuBerita menghargai pendapat anda.

Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here