Sebanyak 63.4 peratus (20.72 juta) daripada jumlah keseluruhan penerima vaksin Covid-19 di Malaysia telah melengkapkan vaksinasi masing-masing sama ada membabitkan vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal setakat ini.
Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di laman web COVIDNOW menunjukkan, 73.3 peratus lagi (23.96 juta individu) menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos.
Setakat semalam sahaja, sebanyak 221,812 dos vaksin diberikan kepada 95,379 individu yang melengkapkan vaksinasi dan 126,433 penerima dos pertama.
Keseluruhannya sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu, sebanyak 44.57 juta dos telah diberikan.
Daripada jumlah itu, 42.60 juta dos diberikan kepada populasi dewasa, dengan semalam sahaja sebanyak 105,949 dos diberikan, membabitkan 90,081 individu melengkapkan vaksinasi dan 15,868 lagi menerima dos pertama. – SB
Sehingga semalam juga 88.0 peratus atau 20,603,249 individu dewasa berumur 18 tahun dan ke atas telah melengkapkan suntikan vaksinasi masing-masing, manakala 94.4 peratus atau 22,098,764 individu lagi menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos.
Mengenai PICK Remaja pula, KKM memaklumkan sehingga semalam sebanyak 3.6 peratus atau 114,124 remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun telah lengkap divaksin, manakala 1,862,399 remaja atau 59.1 peratus, menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos.
Secara keseluruhan sebanyak 1,976,523 dos vaksin diberikan kepada golongan remaja dengan 115,863 dos diberikan semalam kepada 110,565 penerima dos pertama dan 5,298 remaja melengkapkan vaksinasi masing-masing.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.