Warga emas dituduh sembunyikan wang RM2.9 juta

0
286

SEORANG warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, hari ini atas 172 pertuduhan menyembunyikan wang bernilai RM2.9 juta daripada syarikat tempatnya bekerja antara 2016 hingga 2020.

Tertuduh, Lai Ching Wai, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, Ching Wai dengan curangnya menolong menyembunyikan wang RM2.9 juta yang dimasukkan oleh Aerial Mix Sdn Bhd ke dalam empat akaunnya yang mana tertuduh tidak berhak ke atas wang berkenaan.

Kesalahan dilakukan dari 26 April 2016 hingga 2 Jun 2020 di empat bank berbeza di Seremban iaitu Maybank, Cimb Bank, Bank Rakyat dan HSBC Bank.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan RM300,000 bagi semua pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili oleh empat peguam yang diketuai S Karthigesan merayu supaya anak guamnya diberi jumlah jaminan yang munasabah atas alasan tertuduh baharu kematian isteri dan kini tidak lagi bekerja dan mempunyai dua anak.

Katanya, tertuduh juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dilakukan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM58,000 dan sebutan semula kes 2 Disember ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here