Serangan Syncopal: Gejala pengsan selepas vaksinasi

0
959

PADA Disember 2020 dahulu berlaku kejadian seorang jururawat di Alabama US pengsan sejurus vaksin Covid-19. Video beliau pengsan itu viral seluruh dunia kerana permulaan pemberian vaksin Covid-19 menjadi tumpuan semua pihak.

Sehinggalah berita beliau pengsan itu ditokok tambah dengan menuduh jururawat Tiffany Dover itu mati. Padahal beliau pulih dari pengsan dan hidup hingga sekarang.

Kejadian pengsan yang diberi nama Vasovagal atau syncopal attack sering berlaku tanpa penyebab yang jelas.

Namun pakar menyatakan antara penyebab yang mungkin senang berlaku syncopal attack adalah terlalu takut prosedur, emosi gemuruh, takut jarum cucuk, letih, lapar dan kekurangan rehat. Syncopal attack boleh berlaku kepada semua orang dengan insiden kejadian antara 3.0 -3.5%.

Syncopal Attack ini tidak bahaya, dan pesakit pulih sepenuhnya setelah rehat dan dibaringkan.

Kejadian pengsan selepas vaksin ini bukannya suatu perkara baharu. Sudah banyak laporan kajian yang dilaporkan peristiwa itu.

Laporan dari MMWR menyatakan kejadian pengsan akibat syncopal attack ini pernah berlaku selepas pemberian vaksin lain seperti HPV, Meningokokal dan Tetanus, Difteria Pertusis (Tdap). Kebanyakan kes (62%) berlaku dalam kalangan julat umur 11 – 18 tahun.

Mekanisma pengsan ini kemungkinan berpunca dari rasa sakit, takut, anzieti, kurang air (dehidrasi) atau beberapa pencetus lain seperti:

1. Melihat darah
2. Melihat jarum
3. Nyeri ketika suntikan jarum.
4. Cepat bangkit berdiri dengan gopoh
5. Berdiri terlalu lama
6. Sakit atau stres apabila kena pukul.
7. Ketika derma darah
8. Berjemur di tempat panas
9. Lapar dan berada dalam emosi yang cemas
10. Bersukan terlalu lama.

Biasanya pesakit akan mempunyai tanda-tanda awal seperti loya, berdebar dan mata kabur, kemudian terkulai jatuh. Pesakit boleh menyebabkan kecederaan serius jika ketika jatuh terhantuk benda tajam atau keras atau sedang mengendali mesin / kenderaan.

Apa yang perlu dilakukan?

Sebelum prosedur/suntikan

1. Tenangkan penerima vaksin serta beri keyakinan bahawa suntikan itu tidak membahayakan.
2. Beri makan minum secukupnya.
3. Minta penerima bernafas perlahan-lahan dan dalam-dalam. Nasihatkan jangan bernafas laju dan gemuruh.
4. Nasihatkan penerima jangan fikir bukan-bukan yang negatif. Berikan ketenangan kepada mereka.
5. Berborak santai semasa prosedur boleh mengalih pemikiran penerima ke arah yang menenangkan.

Jika berlaku pengsan:

1. Ibu bapa / pengiring atau penjaga jangan panik.
2. Bantu papah beliau agar tidak terjatuh.
3. Baringkan ditempat selesa / selamat.
4. Dapatkan pertolongan dari anggota kesihatan.
5. Petugas kesihatan akan membuat pemeriksaan dan melakukan pemerhatian sekurang-kurangnya 15 minit. Jika kembali pulih, pesakit akan dibenarkan pulang.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Kesihatan Keluarga

Tulisan ini pertama disiarkan di Agenda Daily merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here