EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka sebentar tadi mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Semua mereka menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.
“Saya bersama empat wakil rakyat ini mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada kepimpinan Sulaiman serta seluruh barisan kerajaan negeri hari ini.
“Kami telah menyerahkan surat ketidakpercayaan hari ini, sekali gus kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan negeri ini (baharu) untuk ditubuhkan,” katanya.
Bekas ketua menteri itu berkata tindakan berkenaan rentetan daripada beberapa keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana, sekali gus meletakkan Melaka sebagai negeri yang ‘flip flop’ atau sering berubah-ubah dalam membuat keputusan.
“Seolah-olah ada dua singa di atas satu gunung dan ini menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keempat-empat mereka bersedia berdepan dengan segala kemungkinan akibat tindakan yang dilakukan hari ini.
“Kami meletakkan kepentingan rakyat. Jadi kami serah kepada parti dan tunggu dipanggil Lembaga Disiplin UMNO kerana saya dan Nor Azman masih lagi ahli UMNO,” kata Idris.
Kerajaan Melaka yang diterajui Barisan Nasional (BN) dibentuk pada Mac tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan empat ADUN ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keutamaan PH pada masa ini adalah untuk memastikan kestabilan politik negeri bagi memastikan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat
“Sehubungan itu, 11 ADUN PH bersama empat ADUN Bebas ini berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi membincangkan tentang usaha yang boleh diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri dan kesinambungan pentadbiran kerajaan akan dapat diteruskan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.