ARENA sukan negara mendapat khabar duka apabila bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong dilaporkan meninggal dunia pada usia 62 tahun di kediamannya, pagi ini dipercayai akibat sakit jantung.
Zolkples memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN selama tujuh tahun sejak 2007 sehingga 2014, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Suakan SEA Malaysia (MASOC) pada tahun 2017.
Anak kelahiran Dungun, Terengganu ini turut menjadi salah seorang individu yang menjadi pemangkin kepada kecemerlangan bertaraf dunia yang dikecapi oleh jaguh berbasikal negara, Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang.
Allahyarham yang baru beberapa bulan memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN ketika itu, bersetuju dengan cadangan jurulatih, John Beasly untuk menghantar Azizulhasni ke Melbourne, Australia bagi menjalani program latihan biarpun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak yang menganggap Azizulhasni tiada potensi.
Hasil latihan di Australia sejak 2007 itu, Azizulhasni mencapai kejayaan demi kejayaan yang membanggakan rakyat Malaysia dalam banyak kejohanan dunia.
Allahyarham juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 yang menyaksikan Malaysia merangkul sembilan pingat emas yang merupakan pencapaian terbaik kontinjennegara sepanjang penyertaan pada temasya sukan berkenaan.
Susulan kejaaan itu, Allahyarham sekali lagi diberikan kepercayaan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London 2012.
Sementara itu, menerusi satu hantaran di akaun Facebook Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan Zolkples telah banyak menabur jasa besar dalam pembangunan sukan tanah air dan serantau.
“Saya berpeluang menimba ilmu dan bekerja bersama bekas Ketua Pengarah MSN ini, antaranya sewaktu Allahyarham bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017 yang turut menyaksikan Malaysia muncul sebagai juara temasya tersebut,” katanya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.
Seorang lagi bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi menyifatkan kehilangan Zolkples sebagai seorang kawan dan seorang guru yang banyak mengajarnya tentang dunia sukan.
“Banyak jasanya kepada pembangunan sukan negara termasuk pembangunan sukan berbasikal yang melahirkan ramai jaguh dunia,” katanya menerusi hantaran itu.
Zolkples difahamkan tidak dapat dihubungi oleh beberapa pegawai MSN pada Jumaat lalu setelah mendapati Allahyarham tidak hadir solat Jumaat di Vista MSN, Bukit Jalil.
Pihak polis yang berjaya membuka pintu rumah Zolkples setelah diminta bantuan oleh anak saudara dan pembantu peribadinya, menemukan jenazah Allahyarham terbaring di bahagian dapur rumah beliau.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur dan dibawa ke Dungun, Terengganu bagi urusan pengebumian.—SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.