Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Banjir merah disebabkan pewarna kilang tekstil tumpah - JAS -

Banjir merah disebabkan pewarna kilang tekstil tumpah – JAS

JABATAN Alam Sekitar (JAS) menjelaskan kejadian air banjir berwarna merah di Kampung Sri Serdang Baru, Tampoi di sini Khamis lepas berpunca daripada tumpahan sisa pewarna lama dari sebuah kilang tekstil berhampiran kampung berkenaan.

Ketua Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata tumpahan itu dipercayai disebabkan hujan lebat dan struktur kilang itu yang tidak berbumbung, selain bekas atau beg penyimpanan pigmen warna sudah reput.

“Berdasarkan siasatan dan maklumat penduduk, air merah itu berpunca dari sebuah kilang tekstil usang. Pemilik kilang memaklumkan premis berkenaan wujud sejak 1940-an dengan keluasan 8.49 hektar dan tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti kerana telah menghentikan operasi pada tahun 2000.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tumpahan dari bekas sisa pewarna lama yang ditinggalkan di dalam kawasan kilang terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun ketika banjir mula surut sekitar pukul 4.15 petang, air didapati tidak lagi berwarna merah. 

Wan Abdul Latiff berkata susulan itu JAS Negeri Johor mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) kepada pemilik kilang agar kerja-kerja pembersihan dan pelupusan segera dilakukan.

“Pihak kilang telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memindahkan sisa tumpahan. Bangunan itu juga ditutup dengan kanvas sehingga kerja-kerja selesai,” katanya.

Khamis lepas seorang penduduk kampung berkenaan membuat hantaran di Facebook beberapa keping gambar yang menunjukkan pekarangan rumahnya dipenuhi air berwarna merah.