[VIDEO] Shuib perkenalkan Ayyash Affan kepada semua

SELEPAS hampir dua bulan dilahirkan, akhirnya pelakon dan pelawak popular, Shuib Sepahtu tampil berkongsi wajah anak bongsunya, Ayyash Affan.

Bapa kepada empat cahaya mata itu memuat naik satu hantaran video di Instagram berdurasi dua minit yang memaparkan anakandanya itu sedang lena dibuai mimpi di atas katil bayi.

Sehubungan itu, Shuib turut menzahirkan ribuan terima kasih buat orang ramai yang tidak pernah lekang mendoakan kesejahteraan Ayyash.

“Assalamualaikum, nama saya Ayash Affan bin Shamira. Terima kasih kerana mendoakan kesejahteraan saya,” tulisnya ringkas di Instagram.

Hasil tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa agar anak kecilnya itu sentiasa dilindungi serta menjadi seorang anak yang soleh.

Sebelum ini, Shuib menceritakan semalam, 30 September 2021 sepatutnya tarikh kelahiran Ayash Affan dan ia merupakan tarikh yang dipilih oleh mereka sekeluarga selepas berbincang dengan doktor. – SB