Tujuh wilayah dijangka alami gangguan bekalan air 13 Okt ini

TUJUH wilayah di Lembah Klang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 13 Oktober ini.

Gangguan bekalan air ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dijangka akan melibatkan 998 kawasan dalam wilayah-wilayah berkenaan.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), wilayah yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

“Gangguan bekalan air berjadual itu bermula pukul 9 pagi 13 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam 16 Oktober depan.

“Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan kerja berkenaan sudah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna.

“Pelaksanaannya sebelum ini tertangguh daripada jadual asal iaitu pada 2019 dan tahun lalu.

“Ia berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar,” katanya.

Sehubungan itu, Air Selangor menasihatkan pengguna yang terjejas supaya menyimpan bekalan air dan menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan kelak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai gangguan bekalan air itu menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi talian 15300.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – SB