[VIDEO] Pahlawan negara, Jantan Baba meninggal dunia

0
402

BEKAS anggota keselamatan yang pernah membunuh tujuh anggota komunis pada 1951, Jantan Baba, 94, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Alor Gajah, Melaka, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Cucu saudaranya, Abd Majid Ibrahim, 58, mengesahkan Allahyarham yang juga Ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Isalam Kampung Melaka Pindah, Melaka, petang semalam.

Menurut Abd Majid, Allahyarham pernah dihantar ke siam sewaktu berusia 14 tahun untuk dijadikan buruh kasar paksa bagi membina landasan kereta api selama setahun tanpa dibayar sebarang gaji.

Jantan kemudian berkhidmat dengan Batalion Pertama Askar Melayu selepas menamatkan latihan rekrut Askar Melayu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sepanjang berkhidmat, Allahyarham pernah menyelamatkan ramai rakannya ketika pertempuran termasuk Leftenan Muda Philcox, meskipun dirinya sendiri mengalami kecederaan akibat ditembak pengganas.

Tambah beliau, Allahyarham yang juga bekas Pegawai Waran II Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu pernah mengetuai operasi menentang komunis pada 8 April 1951 di Kongkoi, Kenaboi, Negeri Sembilan.

Hasil jasa dan keberaniannya membunuh tujuh komunis ketika darurat, Allahyarham dianugerahi Pingat Keberanian British Military Medal (M.M) yang setaraf Pingat Gagah Berani oleh baginda Raja England, Raja George IV pada tahun 1951.

“Allahyarham yang meninggalkan enam anak turut menerima penganugerahan daripada Pesuruhjaya Tinggi British Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray selain pernah mewakili batalion dalam pertabalan Ratu England, Ratu Elizabeth II di England pada 1952.

“Semasa Upacara Pengisytiharan Kemerdekaan, Allahyarham berada di belakang Raja Raja Melayu serta bapa kemerdekaan negara , Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka selain pemegang cokmar pada persidangan parlimen pertama negara. Namanya turut terpahat di Tugu Peringatan Negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

“Kerajaan Persekutuan turut memberi pengiktirafan di atas jasa dan pengorbanan Allahyarham dengan penganugerahan Pingat Gagah Berani (PGB) manakala Kerajaan Negeri Melaka pula menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM) pada tahun 2020,” tulisnya dalam satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau.

Sejarah perjuangannya menyaksikan Allahyarham turut terselamat daripada maut walaupun ditembak komunis dengan jarak dekat, apabila peluru hanya terkena sisi telinga kiri dan lehernya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here