Warga emas rugi RM80,000 ditipu Macau Scam

0
455

SEORANG lelaki berusia 68 tahun terpaksa berputih mata apabila kerugian RM80,000 selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ yang memperdaya mangsa mempunyai tunggakan hutang, di Kedah, pada 24 September lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang merupakan pemilik sebuah perniagaan itu, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mangsa yang tinggal di Alor Setar itu telah menafikan bahawa dia mempunyai hutang tertunggak kepada suspek, sebelum suspek menyambungkan panggilan telefon berkenaan kepada seorang pegawai polis dari IPK Melaka.

“Mangsa kemudiannya telah disambungkan ke pihak Telekom Malaysia (TM) bagi meyakinkan bahawa talian berkenaan adalah dari IPK Melaka.

“Mangsa telah disambungkan pula ke Bukit Aman untuk mendengar siaran radio berkaitan kad pengenalan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa ditakutkan dengan waran tangkap dan diarahkan untuk menyalurkan wang simpanannya ke Bank Negara Malaysia sebagai tanda mangsa memberi kerjasama kepada pihak suspek.

“Mangsa juga telah ditakutkan dengan diminta membuat akuan sumpah secara dalam talian untuk menyimpan semua rahsia dan tidak boleh mendedahkan kes berkenaan kepada sesiapa termasuk ahli keluarga mangsa.

“Pada 27 September lepas, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah RM80,000 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa hanya sedar dia diperdaya apabila isterinya mengetahui bahawa mangsa telah mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan,” katanya.

Elias berkata mangsa telah datang membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam serta jangan mudah panik dan takut sekiranya menerima panggilan telefon dan arahan untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang lain.

“Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan bagi mengetahui kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan Bank Negara Malaysia bagi mengetahui mengenai kesahihan akaun bank,” katanya – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here