Pelajar mati akibat Covid-19 dan sakit jantung, bukan sebab vaksin

0
317

Polis menafikan kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di Ipoh, Perak disebabkan vaksin COVID-19, seperti didakwa menerusi rakaman video tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kematian dua pelajar berkenaan masing-masing disebabkan jangkitan COVID-19 dan penyakit jantung.

Katanya, kematian pertama direkodkan pada 18 Julai lalu membabitkan seorang pelajar perempuan sekolah itu yang disahkan positif COVID-19.

Berdasarkan maklumat, pelajar itu menghidap kencing manis dan darah tinggi tahap kronik selain dua bulan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Menurut Mior Faridalathrash, kematian kedua direkodkan pada 17 September lalu membabitkan seorang pelajar lelaki yang meninggal dunia disebabkan penyakit jantung.

“Maklumat disebarkan tidak benar dan mengelirukan. Memang ada dua orang pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia tetapi bukan disebabkan vaksin.

“Kedua-dua kejadian tiada kena-mengena dengan vaksin kerana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja bermula 20 September lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, polis akan memanggil individu dipaparkan dalam video berkenaan bagi membantu siasatan memandangkan dakwaan tidak benar itu menimbulkan kegusaran awam.

Klip video berdurasi satu minit 38 saat memaparkan seorang wanita sedang berucap kepada sekumpulan individu sebagai tanda solidariti untuk menuntut hak supaya pelajar sekolah tidak diwajibkan mengambil vaksin COVID-19.

Dalam ucapannya, wanita itu mendakwa berlaku dua kes kematian pelajar SMK Tasek Damai disebabkan vaksin, selain dua lagi pelajar di lokasi berlainan termasuk di Lahad Datu, Sabah, serta dua lagi remaja di Ipoh yang mengalami alahan serius selepas divaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here