Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lebih 100,000 veteran ATM belum daftar dengan JHEV -

Lebih 100,000 veteran ATM belum daftar dengan JHEV


JABATAN Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengesan lebih 100,000 bekas anggota dan pegawai ATM yang tidak berdaftar dengan jabatan itu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata usaha itu bagi membolehkan bekas ATM menikmati segala kemudahan dan bantuan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan termasuk kemudahan perubatan.

“Mungkin ada ahli keluarga yang tidak menyedari datuk atau ayah mereka adalah veteran jadi bolehlah bantu mereka untuk mendaftar secepat mungkin dengan JHEV.

“Pada masa ini, terdapat lebih 300,000 bekas anggota ATM dikenal pasti namun hanya 211,924 sudah mendaftar dengan jabatan itu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pusat perkhidmatan setempat JHEV ATM di Menara TH Perdana, hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah yang mendaftar JHEV, seramai 104,760 adalah anggota yang berpencen, 82,031 tidak berpencen manakala 25,133 lagi menerima pencen terbitan.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata kementeriannya melalui JHEV ATM bercadang untuk mewujudkan pusat perkhidmatan setempat bergerak bagi menyampaikan perkhidmatan kepada warga veteran ATM di seluruh negara.

Menurut beliau pusat itu secara tidak langsung akan membantu dalam proses menjejaki veteran yang belum berdaftar dengan jabatan berkenaan.

Katanya hasrat penubuhan pusat itu untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dengan lebih efektif merangkumi perkhidmatan permohonan atau semakan, faedah kematian, menguruskan kemudahan perubatan dan tanggungan serta banyak lagi.

Beliau berkata sistem penyampaian perkhidmatan yang diintegrasikan dengan kemudahan digital bukan sahaja memudahkan para veteran serta memberi impak positif kepada JHEV tetapi juga menjimatkan masa.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan adalah Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.- BERNAMA