AMALAN mengambil ubat kurus yang dibeli melalui media sosial hampir meragut nyawa seorang gadis.
Pengalaman gadis itu dikongsikannya melalui sebuah video di akaun TikTok miliknya setakat ini telah mendapat 900 ribu tontonan dengan 40 ribu tanda suka.
Gadis berkenaan, Masturina Dania Khairil Afzan, 22, menjelaskan pengalaman pahit itu berlaku dua tahun lalu dan memuat naik video berkenaan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.
Katanya, suplemen kurus yang diamalkan pada ketika itu, perlu diminum satu paket sehari dan telah mengamalkan untuk meminum ubat berkenaan selama 11 hari sebelum terasa kesan sampingan.
“Selepas saya minum suplemen itu pada hari kesebelas, saya mula rasa penglihatan saya kabur, rasa macam nak pitam. Kemudian saya duduk atas kerusi.
“Saya duduk, lepastu saya dah terus tak boleh bangun kerana saya rasa kebas satu badan. Masa tu nak pijak tanah pun kaki saya dah tak rasa apa dah,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Dirinya yang panik terus bergegas ke hospital dan diberitahu untuk berhenti mengamalkan ubat kurus berkenaan kerana organ dalamannya hampir rosak akibat daripada bahan terlarang di dalam suplemen tersebut.
Gadis yang berasal dari Temerloh, Pahang itu bagaimanapun, meminta untuk dirawat secara tradisional di kampung dan mengamalkan meminum air kelapa setiap hari dan beransur pulih selepas seminggu.
“Saya terbaring selama seminggu. Sampai sekarang pun saya boleh rasa kesannya. Saya dah tak boleh makan ubat langsung kerana badan akan terketar, kepala saya kerap sakit, badan jadi lesu. Saya tak boleh berdiri lama dan buat kerja berat sangat.
“Kadangkala pinggang saya rasa sakit, lutut saya sakit. Saya pun dah tak boleh nak bersukan.Senang cerita badan saya senang sakit,” katanya.
Masturina mengakui bahawa sebelum ini dirinya tidak mengetahui sekiranya suplemen yang tiada pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh memberi kesan buruk kepada tubuh badannya.
“Produk tu memang tular dan ‘famous’. Saya juga tak sangka kesan dia boleh jadi sampai macamtu, saya tengok ramai yang pakai produk sama berjaya kurus, jadi saya nak cuba.
“Produk tu pun claim boleh kurus dalam masa yang cepat, saya jadi tertarik nak beli waktu itu,” luahnya.
Sebagai salah seorang mangsa yang menghadapi pengalaman ngeri dengan pengambilan suplemen berkenaan, Masturina menasihati orang ramai untuk berhenti mengambil suplemen atau ubat-ubatan yang tiada pengiktirafan KKM.
“Sebab kita tak tahu apa bahan dalam suplemen tu. Kita hanya tengok pada viral, ubat itu menjadi, dan juga trend tapi kita tak tahu kesan sampingan dia. Lepas dah kena baru kita tahu perit dia. Kesannya boleh kekal sampai sekarang,” ujarnya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.