Taktik baharu seludup ketum, kumpul stok dalam kontena

0
275

SINDIKET pengedaran daun ketum dikesan menggunakan kontena untuk menyeludup ke Thailand dan menjadikan kawasan penyimpanan kontena dan kargo antarabangsa di Padang Besar, Perlis sebagai pusat transit.

Kegiatan mereka terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dari Batalion 18 Pangkalan Hulu, Perak, mematahkan cubaan menyeludup daun ketum ke Thailand, selepas merampas 700 kilogram (kg) daun ketum, jam 3 petang semalam.

Barang terlarang yang dianggarkan bernilai RM21,000 itu disembunyikan dalam dua kontena di sebuah kawasan transit.

Seorang lelaki berusia 41 tahun yang bertugas sebagai pengurus kontena di kawasan itu turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pangkalan Hulu, Superintendan Ramli Wan Salin berkata, rampasan dilakukan selepas anggotanya menerima maklumat mengenai kegiatan berkenaan dan kemudian melakukan intipan selama seminggu terhadap sindiket berkenaan.

“Kita dapati sindiket menjadikan kontena di kawasan ini sebagai transit untuk membawa daun ketum ini ke Thailand dan seperti kita tahu, Thailand sudah pun membenarkan penggunaan daun ketum secara sah dan disebabkan itu juga, permintaan terhadap barangan itu agak tinggi.

“Daun ketum yang dibawa dari pelbagai tempat termasuklah dari Kedah atau Perlis akan dikumpulkan secara rahsia dalam dua kontena ini dan setiap kontena mampu dipenuhkan sehingga tujuh tan daun ketum.

“Bekalan daun ketum ini kemudian akan dibawa melepasi kawasan ini sama ada dengan lori atau kereta api menuju terus ke Thailand.

“Kita tidak menolak kemungkinan daun ketum ini dibawa menggunakan lori sehingga ke Bangkok atau lokasi lain yang memerlukan bekalan daun ini di sana,” katanya dalam sidang media di sebuah kawasan transit kontena dan kargo. .

Katanya, rampasan dilakukan ketika proses mengumpul bekalan itu baru sahaja beberapa hari bermula. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952

Semasa intipan, pihaknya turut mendapati suspek yang mempunyai akses di tempat ini serta kontena berkenaan akan membawa bungkusan daun ketum itu sedikit demi sedikit untuk memenuhkan ruang kontena ini.

“Ini adalah kali pertama kita bertemu taktik penyeludupan seperti ini menggunakan kawasan seperti ini untuk menyeludup daun ketum ini kerana biasanya kita banyak berjumpa dengan taktik penyeludupan daun ketum di dalam hutan menggunakan ‘lorong tikus’ di sempadan.

“Untuk memenuhkan kontena berkenaan dipercayai memakan masa sehingga seminggu di mana bekalan daun ketum ini akan dibawa menggunakan sama ada motosikal, pikap mahupun lori sebelum dimuatkan dalam kontena ini,” katanya.

Beliau berkata, setiap bungkusan daun ketum yang ditemui dianggarkan seberat 30 kg dan pihaknya turut merampas sebuah motosikal Honda EX5 digunakan oleh suspek.

Suspek dan rampasan daun ketum itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here