POLIS Diraja Malaysia menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian di Sungai Besi, Kuala Lumpur seperti yang dipaparkan dalam beberapa video tular lewat petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, kejadian dalam video tular berkenaan berlaku antara jam 11.45 pagi hingga 4 petang Selasa.
Beliau menjelaskan, pada ketika itu Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) hadir untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sebuah sekolah berdekatan.
“Di dalam operasi tersebut pihak Polis IPD Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan. Semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan berbangsa Cina membawa kayu dan besi.
“Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas ditempat kejadian,” ujar Idzam dalam kenyataan media yang diedarkan hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, dalam insiden tersebut pihak polis telah menahan empat individu berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.
Kes di siasat di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Tambah Idzam, video berkaitan isu ini telah dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.
“Sehubungan dengan itu pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi ASP Mohamad Sukri Bin Ishak (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 013-2165881 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan bagi membantu siasatan,” jelas beliau lagi.
Terdahulu, tular di media sosial dengan satu rakaman video yang menunjukkan kekecohan sekumpulan individu dengan pihak berkuasa.
Dalam video terbabit, beberapa individu kelihatan berang dan bertindak membaling kayu ke arah pihak polis. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.