RMK-12 membina ekonomi negara, mendepani era pasca pandemik

0
311

SELEPAS hampir dua tahun berdepan cabaran pandemik, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dibentangkan semalam menjadi dokumen cukup signifikan untuk meletakkan semula hala tuju pembangunan negara ke landasan betul, serta mensiapsiagakan ekonomi Malaysia dalam mendepani era pasca pandemik.

RMK-12 adalah pelan jangka sederhana negara dan ia perlu dilihat bersama-sama dengan pelan, dasar serta pakej rangsangan jangka pendek dan panjang yang dibentangkan sebelum ini.

Ini termasuk lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion, pendekatan 6R, Pelan Pemulihan Negara (PPN), Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC), Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), program wakaf, Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia ataupun MyDigital, Dasar Sains dan Teknologi Negara 2021-2030 serta Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Dalam konteks ini, RMK-12 dilihat satu pelan menyeluruh dan menghubungkan pelan ataupun dasar jangka pendek negara dan panjang kebangsaan, serta komitmen kerajaan dalam memenuhi matlamat pembangunan mampan di bawah Agenda Pembangunan Lestari 2030 (SDG 2030).

Sembilan fokus utama diletakkan dalam RMK-12 dengan berdasarkan tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan – mempunyai potensi besar untuk mentransformasi ekonomi Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2025.

Kita dapat lihat isu utama dalam era pandemik ini, seperti penciptaan peluang perniagaan dan pekerjaan baharu, terutama kepada golongan muda diberi perhatian khusus.

Begitu juga pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang begitu terjejas akibat pandemik COVID-19 dan juga sektor yang begitu terkesan seperti sektor pelancongan, penerbangan dan perkhidmatan.

Sasaran pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus adalah sasaran munasabah, dalam usaha meningkatkan aktiviti penggunaan, pelaburan dan perniagaan pasca pandemik.

Dalam aspek ini, penekanan kepada agenda pertumbuhan hijau amat dialu-alukan. Inilah satu daripada gambaran dimensi untuk menekan butang ‘reset’ kepada ekonomi Malaysia mendepani era pasca pandemik.

Banyak pekerjaan berpendapatan tinggi baharu dapat diwujudkan apabila ekonomi rendah karbon disasarkan.

Begitu juga pelaburan baharu dalam konteks model ekonomi kitaran yang akan memacu penciptaan dan penggunaan teknologi tinggi berdasarkan produktiviti tinggi dan juga proses inovasi yang menyeluruh di semua rantaian pengeluaran yang terbabit.

Fokus kepada pembangunan lestari di kawasan bandar dengan adanya Pelan Tindakan Bandar Hijau serta pelaburan dalam kereta elektronik dan pengurangan dalam penggunaan tenaga fosil juga adalah tindakan yang tepat pada masanya. Begitu juga cukai karbon yang bakal diperkenalkan.

Tidak dinafikan, pandemik mengakibatkan taraf, kualiti, serta kesejahteraan hidup rakyat terjejas. Di sinilah pentingnya pengukuran kemiskinan berbentuk pelbagai dimensi diperkenalkan.

Pada abad ke-21 ini terutama dalam era pandemik, konsep kemiskinan itu sendiri perlu ada pemahaman dan penafsiran yang lebih menyeluruh, seperti kemiskinan digital dan juga kemiskinan dari aspek keupayaan dan kemahiran, terutama kemahiran keusahawanan dalam era perniagaan digital dan juga dalam ekonomi gig ataupun ‘start-up’ (pemula).

Satu daripada dimensi kemiskinan penting adalah aspek pendidikan. Jika melihat – contohnya pada indikator kehadiran ke sekolah – pengukuran indikator ini mungkin berubah dengan mengambil kira aspek sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dalam RMK-11, Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) diperkenalkan dengan 11 indikator baharu. Melalui RMK-12, aspek ketidaksamarataan daripada perspektif pelbagai dimensi juga diperkenalkan.

Strategi diperkenalkan dalam aspek ini seperti menambah baik akses kepada perkhidmatan penting, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan miskin, menangani kemiskinan bandar secara holistik dengan tumpuan khusus kepada daerah dan lokasi termiskin di bandar dan luar bandar.

Begitu juga kesenjangan pembangunan ekonomi dan sosial antara negeri, terutama Sabah dan Sarawak yang masih lagi jauh ketinggalan daripada pelbagai dimensi pembangunan dan juga kemakmuran kehidupan rakyat.

Usaha ini juga membabitkan semua pihak – kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti. Inilah satu contoh yang baik manifestasi gagasan Keluarga Malaysia itu sendiri, iaitu pembangunan inklusif, adil dan saksama serta membabitkan semua pihak.

Menuju ke hadapan, untuk merealisasikan sasaran RMK-12 ini amat mencabar. Ketidakpastian keadaan pengurusan pandemik ini, yang akan menjadi endemik tidak lama lagi.

Begitu juga sistem pengumpulan dan pengurusan data yang menjadi tunjang penting dalam memastikan apa yang dirancang dapat dimanfaatkan dan dirasai Keluarga Malaysia secara keseluruhan.

Di sinilah pentingnya objektif terakhir dalam RMK-12, iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar berkesan.

Pendekatan keseluruhan kerajaan amat penting, selain agenda pendigitalan ekonomi negara, terutama pendigitalan sektor awam.

Pemerkasaan institusi juga penting dalam proses pelaksanaan, dengan pemupukan budaya integriti dan bebas rasuah yang tinggi.

Diharapkan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan tidak lama lagi, akan menggunakan RMK-12 ini sebagai asas panduan dan dapat menterjemahkan strategi, pelan, serta dasar yang dibentangkan kepada program dan juga langkah lebih spesifik untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin
Penulis adalah Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tulisan ini pertama disiarkan di BH Online dan adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here