POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku kebocoran data peribadi awam yang kononnya menerusi data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada Timbalan Pengarah JPN di balai polis Presint 7, Putrajaya, semalam.
PDRM akan mendapatkan laporan daripada bahagian teknologi maklumat JPN dan memeriksa sistem JPN serta LHDN untuk mengenal pasti di mana kebocoran data awam berkenaan.
“Setakat ini, PDRM masih perhalusi dakwaan itu daripada pelbagai sudut dan tindakan awal kami akan block (sekat) daripada dijual.
“PDRM tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang dalam namun siasatan akan dibuat secara menyeluruh kepada semua pihak terbabit dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Siber Sekuriti Agensi Keselamatan Siber Negara,” katanya dalam sidang media khas di Balai Polis Jinjang di sini hari ini.
Mohd Kamarudin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Hari ini, satu forum perbincangan digital melaporkan pangkalan data milik JPN telah disenaraikan untuk dijual dalam pasaran forum pangkalan data yang terkenal dengan menawarkan empat juta data peribadi awam diperoleh daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui myIDENTITY. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.