Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kes kemalangan pemandu lawan arus bakal jadi tumpuan Dewan Rakyat -

Kes kemalangan pemandu lawan arus bakal jadi tumpuan Dewan Rakyat

STATISTIK kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan melawan arus serta langkah dilaksanakan kerajaan untuk membendungnya antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan Menteri yang akan diajukan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) kepada Menteri Pengangkutan.

Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Anthony Loke Siew Fong (PH-Seremban) kepada Menteri Kewangan mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula dasar ekuiti untuk syarikat penghantar fret yang sedang beroperasi memandangkan syarat ekuiti sedia ada sukar untuk dilaksanakan.

Bagi sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, isu pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan dan Pekerja (Akta 446) susulan pengesanan kluster COVID-19 yang tinggi melibatkan sektor pembuatan dan pembinaan akan dibangkitkan Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) kepada Menteri Sumber Manusia.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Dr Xavier Jayakumar untuk Menteri Kesihatan berhubung langkah kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan pakar perubatan di hospital kerajaan, selain tindakan menyerap pakar perubatan kontrak ke jawatan tetap.

Turut dibangkitkan isu kemiskinan melibatkan Orang Asli dan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang akan diajukan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Usai sesi itu, bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 dijangka dikemukakan Menteri Kewangan.

Persidangan Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini.- BERNAMA