Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KERAJAAN Perak sedang mengkaji keperluan pemberian vaksin dos ketiga atau dos penggalak Covid-19 kepada rakyatnya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamarudin, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Ketika ini kerajaan negeri sedang memberi fokus kepada program pemberian vaksin remaja yang bermula sejak 20 September lalu.
“Perkara ini (dos penggalak) masih lagi dalam kajian. Kita tunggu arahan daripada pihak kementerian sahaja. JKN menunggu arahan daripada KKM. Belum ada apa-apa keputusan,” katanya.
Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pembukaan hari pertama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Silverlakes Brand Village Outlet di Batu Gaja, hari ini.
Semalam, Sarawak dilaporkan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bermula bulan depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini pihaknya masih dalam proses penyediaan garis panduan klinikal untuk pelaksanaan program suntikan dos ketiga itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.