
MALAYSIA tidak seharusnya menjadi perisai ataupun proksi kepada mana-mana kuasa besar sehingga membolehkan mereka melakukan provokasi terhadap negara lain.
Selain itu kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kuasa-kuasa besar juga tidak seharusnya dibiarkan menjadi penyelesai kepada masalah dalam kalangan negara di rantau ini.
Jelas Abdul Hadi, negara-negara serantau sepatutnya menyelesaikan masalah sendiri melalui pakatan kerjasama setempat selain mengadakan hubungan dengan semua pihak tanpa mengira Blok Timur atau Barat, menerima aspek positif dan menolak polisi negatif serta melampau.
Justeru, katanya dalam kenyataan media yang diedarkan hari ini, tanggungjawab dan peranan untuk menyelamatkan negara sendiri lebih diutamakan, selain tidak menjadi alat kepada campur tangan asing secara langsung atau tidak langsung.
“Jangan jadikan negara ini sebagai perisai kepada negara lain atau proksi bagi pihaknya melalui provokasi murahan yang boleh dibeli oleh mereka,” katanya mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang akan meminta pandangan China berhubung perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu berkata, kenyataan Hishammuddin untuk meminta pandangan China itu bukan bermakna Malaysia sudah berpihak China tetapi, lebih bersifat kepada menunjukkan bahawa Malaysia tidak bergantung lagi kepada Barat.
Semalam, Hishammuddin menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa Malaysia menerima arahan daripada China berhubung pembentukan AUKUS.
Menteri Pertahanan itu sebaliknya berkata, Malaysia mahukan pandangan China dan tindakan mereka berhubung AUKUS supaya negara di rantau ini, termasuk negara ASEAN lain boleh ambil tindakan proaktif.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata adalah wajar Malaysia meminta penjelasan China kerana keutamaan yang sepatutnya dalam hubungan antarabangsa adalah melihat terlebih dahulu terhadap sikap negara serantau yang terdekat, bukannya merangkak ke negara yang jauh merentasi lautan dan benua. – SB