ORANG ramai dinasihatkan untuk menyemak dan mengambil langkah berjaga-jaga terlebih dahulu sebelum membuat transaksi wang ketika menderma kepada mana-mana orang atau organisasi yang memohon sumbangan melalui media sosial.
Bekas Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Telekomunikasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (JSJK PDRM), DSP Nur Asrul Ariff berkata, terdapat banyak individu atau organisasi yang mengambil peluang ke atas simpati orang ramai lebih-lebih lagi dalam musim pandemik, kononnya memohon derma di media sosial.
Menurutnya, orang ramai boleh melakukan beberapa cara untuk mengenal pasti samada selamat atau sebaliknya sebelum membuat transaksi wang kepada mana-mana individu atau organisasi termasuk dengan menyemak nombor akaun bank yang diberikan mereka di semakmule.rmp.gov.my.
“Sekiranya nombor akaun bank yang disemak itu disenaraikan pernah atau sedang terlibat dalam siasatan polis, portal tersebut akan maklumkan pada anda,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.
Tambahnya, orang ramai juga boleh melakukan semakan di media sosial dengan membuat carian menggunakan kata nama yang digunakan oleh peminta derma berkenaan.
“Sekiranya kata nama yang digunakan mereka pernah tular sebelum ini kerana terlibat dalam penipuan ketika meminta derma, ia akan terpapar di media sosial. Jadi cara ini boleh digunakan sebagai langkah berhati-hati.
“Selain itu, cara terbaik adalah dengan pergi sendiri ke tempat yang dinyatakan contohnya, rumah anak yatim untuk kita semak perkara itu betul atau tidak,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai perlu mendapatkan maklumat yang lebih terperinci apabila berbual dengan individu atau organisasi yang memohon derma dengan bertanya beberapa soalan penting.
“Mungkin boleh tanya tentang isu yang digunakan mereka untuk meraih simpati. Perlu pastikan kenapa dia perlukan sumbangan atau apa yang diperlukan.
“Atau boleh juga bertanya kepada mereka samaada ada memohon sumbangan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pusat Pungutan Zakat dan sebagainya.
Katanya, mangsa-mangsa penipuan boleh tampil membuat laporan polis dengan membawa bukti komunikasi dengan individu yang disyaki memperdaya mereka, serta bukti-bukti pembayaran atau transaksi yang telah dilakukan untuk membantu siasatan polis.
Beliau menegaskan bahawa rakyat di negara ini tidak boleh terlalu obses dengan maklumat-maklumat yang dipaparkan di media sosial kerana banyak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas rakyat Malaysia yang disifatkan senang bersimpati atau kasihan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid pada Ahad, memaklumkan lima laporan polis telah diterima melibatkan penipuan kes kutipan sumbangan dan derma oleh pihak yang menyamar sebagai pelindung haiwan menerusi Facebook.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.