Warga emas disaran baharui lesen memandu dengan syarat khas

0
227

FAKTOR kemerosotan kecekapan mental, penyakit mudah lupa dan nyanyuk yang sering dikaitkan dengan warga emas menjadikan golongan itu menghadapi cabaran ketika memandu di jalan raya.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan agar syarat khas buat warga emas sebelum mereka dibenarkan untuk memperbaharui lesen memandu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias, antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Beliau berkata, kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.

“”Apabila mencapai usia warga emas, banyak penyakit yang datang, antaranya penyakit Alzheimer dan penglihatan tidak terang. Faktor ini secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

“Terdapat kes sebelum ini seorang warga emas memandu kenderaan dengan memasuki lorong motosikal. Maka kerajaan perlu meneliti dan mengkaji berhubung pengeluaran LKM kepada golongan warga emas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Jumaat.

AZISMAN ALIAS

Beliau selanjutnya menjelaskan, golongan warga emas sepatutnya hanya dibenarkan memperbaharui lesen dengan syarat mempunyai pengesahan daripada doktor yang menyatakan individu berkenaan mampu untuk memandu dari segi mental dan fizikal.

Tambahnya, tempoh pembaharuan lesen buat warga emas juga seharusnya dihadkan untuk jangka masa yang pendek supaya pihak berkenaan dapat membuat penilaian terhadap kemampuan golongan tersebut untuk berada di jalan raya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan dan agensi yang berkaitan supaya memandang serius perkara tersebut untuk mengelak kejadian kemalangan maut. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here