[VIDEO] Muhyiddin cadang tubuh Majlis Pemulihan Negeri

MAJLIS pemulihan di peringkat negeri dan daerah akan dapat memberikan kerajaan maklumat yang lebih dekat dan terperinci mengenai senario sebenarnya di peringkat bawahan setiap negeri

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, cadangan berkenaan bakal memudahkan lagi segala bentuk usaha pemulihan negara dilaksanakan.

Selain itu, bekas Perdana Menteri berkenaan menjelaskan, penubuhan majlis yang sama di peringkat negeri juga bakal membolehkan usaha pemulihan dapat diterima di peringkat akar umbi dengan lebih berkesan dan pantas.

“Penubuhan Majlis Pemulihan Negeri mungkin dipimpin Menteri Besar atau Ketua Menteri. Di bawahnya adalah jawatankuasa tindakan daerah yang sedia ada yang boleh diberikan lebih peranan untuk melihat aspek pemulihan. Ini akan membantu kita mengetahui lebih dekat dan terperinci apa sebenarnya yang ada di bawah.

“Yang kita ambil di peringkat nasional ini bawa kesan sampai ke bawah dalam jangka masa yang tidak terlalu lama,” katanya kepada media selepas lawatan meninjau kehidupan pendudukan sekitar Pagoh di Johor pada Sabtu.

MUHYIDDIN ketika lawatan meninjau kehidupan pendudukan sekitar Pagoh di Johor pada Sabtu. – SB

Dalam lawatan berkenaan, Ahli Parlimen Pagoh tersebut turut menghulurkan bantuan bakul makanan selain keperluan asas bagi penduduk yang menghadapi penyakit kronik selain meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga di Pasar Tani Pagoh Jaya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MPN, Isnin ini.

Kata beliau, hasil perbincangan itu akan dikemukakan dalam Kabinet untuk persetujuan Perdana Menteri.

Muhyiddin beramah mesra semasa mengadakan lawatan ziarah kepada penduduk dan peniaga di Taman Pagoh Jaya, Pagoh, Muar, hari ini

Sekiranya dipersetujui, beliau berkata, pimpinan majlis berkenaan akan membentuk jawatankuasa tindakan di peringkat bawahan agar kesan pemulihan dapat dirasai rakyat bawahan.

Jelas beliau, pihaknya amat menyedari bahawa pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada ekonomi rakyat.

Justeru tegasnya, peranan pemimpin akar umbi amat penting untuk digerakkan dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat. – SB