Kulit kayu tangar RM350,000 dirampas

OPERASI Op Khazanah Bersepadu menemui 10 tan kulit kayu tangar curi dari Hutan Simpan Kuala Sungai Paitan, Sungai Sugut, Pulau Jambongan, Beluran, semalam.

Anggota Batalion 20 PGA Beluran yang berkerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menemui kayu-kayu berkenaan ditinggalkan dalam sebuah bot dipercayai dari Filipina dalam operasi yang diadakan pada pukul 2 petang Jumaat itu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semasa rondaan pasukan operasi, mereka menemui sebuah bot berserta enjin yang tidak berdaftar dipercayai digunakan penceroboh.

Menurutnya, pasukan itu kemudiannya melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar dan tidak menemui mana-mana individu atau kesalahan lain di lokasi.

“Rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Rani berkata, semua kayu yang dirampas dianggarkan bernilai RM350,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Ujarnya, bot yang digunakan pula dianggarkan bernilai RM80,000 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM450,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Enakmen Perhutanan 1968 dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969. Jabatan Perhutanan kemudiannya melupuskan dengan membakar semua kulit kayu berkenaan termasuk bot ,” katanya. – SB