Ahmad Maslan tak lepas, UMNO cari calon Timbalan Speaker lain

0
296

AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan telah digugurkan sebagai calon untuk jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Nama setiausaha agong UMNO itu digugurkan selepas pimpinan parti menyedari tindakan tersebut mengundang rasa tidak puas hati daripada parti komponen lain khususnya Perikatan Nasional (PN).

Memetik aporan portal Agenda Daily, sumber parti memberitahu keputusan tersebut terpaksa dibuat bagi mengelakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dimalukan sekiranya kalah dalam pengundian di dewan nanti.

“UMNO kini terpaksa mencari calon lain untuk menggantikan Ahmad Maslan… Rakan-rakan parti dalam kerajaan tidak menyokong pencalonan tersebut dan sekiranya diteruskan juga ia akan mengundang kemaluan kepada Perdana Menteri.

“Ahmad Maslan ditolak bukan sahaja dikalangan MP pembangkang tetapi juga disebelah blok kerajaan,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, pemilihan calon baharu sedikit mencabar apabila hampir majoriti Ahli Parlimen UMNO tidak mahu mengambil jawatan tersebut malah beberapa calon yang ditawarkan sudah menolak sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan sebelum ini mendakwa pencalonannya ditolak oleh Ahli Parlimen Bersatu memandangkan beliau adalah salah seorang daripada 15 MP yang bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Selain itu, Ahmad juga merupakan salah seorang daripada kumpulan yang dikatakan kluster mahkamah.
Sebelum ini, UMNO mengesahkan Ahmad merupakan satu-satunya calon daripada blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Blok pembangkang pula mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Speaker, Nga Kor Ming sebagai wakil Pakatan Harapan (PH).

Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.
Jawatan itu kosong setelah MP Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.

Mengikut ketetapan awal, usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here