[VIDEO] 9 jenis makanan yang boleh bantu tingkatkan imunisasi badan

0
346

DENGAN cuaca yang tidak menentu serta penularan wabak Covid-19 pada ketika ini, apakah tindakan terbaik yang perlu kita ambil untuk memastikan yang kita dan keluarga kita kekal sihat?

Salah satu caranya ialah dengan memastikan kita menjaga kebersihan diri sentiasa dengan mencuci tangan setiap kali sebelum menyentuh makanan dan memakai topeng muka apabila berada di luar rumah.

Dalam pada itu, kita juga hendaklah mengambil langkah berwaspada dengan mengamalkan pemakanan sihat, terutamanya pengambilan bahan-bahan yang boleh menguatkan sistem daya ketahanan tubuh badan kita.

  1. Brokoli

Brokoli kaya dengan vitamin C. Kandungan ini dapat meningkatkan daya tahan tubuh untuk menghindarkan kita dari pelbagai penyakit. Walaupun tidak mempunyai rasa yang dominan, brokoli boleh dimasak dengan cara rebusan, kukus atau diolah menjadi masakan dan dimasukkan di dalam sup. Brokoli juga dikenali sebagai sayuran sihat yang kaya manfaat. Brokoli juga memiliki pelbagai kandungan nutrisi.

  1. Bawang putih

Bukan sahaja menambah rasa dalam masakan, bawang putih turut diketahui umum mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Salah satu daripadanya adalah untuk menguatkan sistem imunisasi badan, membaiki perjalanan darah, menurunkan tekanan darah dan menjauhkan penyakit jantung.

  1. Halia

Khasiat utama pengambilan halia terletak pada kesan anti oksida, mengelakkan keradangan dan memberi perlindungan maksimum pada kekebalan tubuh. Halia juga mempunyai vitamin C dan magnesium yang baik untuk ketahanan badan melawan penyakit.

  1. Bayam

Bayam kaya dengan nutrisi seperti vitamin dan kandungan mineral yang baik untuk ketahanan badan dan pertumbuhan sel. Kandungan vitaminnya terdiri daripada A, C, B Kompleks, K dan E. Manakala kandungan mineral pula adalah magnesium, zat besi, asam folat, kalsium, potasium dan sodium. Bayam juga mengandung banyak serat dan antioksidan.

  1. Yogurt

Yogurt adalah makanan yang tinggi probiotik, bakteria baik yang membantu melancarkan pencernaan. Yogurt memiliki kandungan vitamin B kompleks, magnesium, kalium, fosfor, zat besi, selenium dan zink. Kandungan vitamin B12 pada yogurt juga bermanfaat untuk membantu sistem saraf berfungsi dengan baik dan melindungi daripada penyakit jantung.

  1. Kacang Almond

Berasal dari Timur Tengah, kacang almond merupakan sejenis kacang yang paling popular di dunia. Ia biasanya boleh terus dimakan atau diolah menjadi pelbagai sajian. Kacang almond diakui kaya dengan protein, vitamin E, vitamin B2, magnesium dan juga fiber yang menjadi benteng pertahanan badan.

  1. Buah Limau

Limau atau citrus merupakan sumber anti oksida, vitamin dan nutrisi yang sangat baik untuk kesihatan badan manusia.  Khasiat utamanya termasuk vitamin C, serat, folat dan kalium. Selain itu, limau juga berupaya menjaga kesihatan badan dan mempengaruhi emosi seseorang menjadi lebih baik.

  1. Teh Hijau

Dikenali antara minuman yang paling berkhasiat, teh hijau kaya dengan Vitamin C dan flavonoid, sejenis antioksida yang membantu tubuh melawan pembentukan radikal bebas. Teh hijau juga mengandungi epigallocatechin gallate (EGCG) sejenis antioksida yang sangat berkesan untuk mempertingkatkan daya ketahanan tubuh badan. Catechine yang terdapat di dalam teh hijau juga mampu membunuh bakteria, menghalang virus seperti virus influenza daripada membiak dan juga mengurangkan risiko jangkitan kuman. Teh hijau juga merupakan sumber terbaik sejenis amino asid yang dikenali sebagai L-theanine yang berupaya menghalang jangkitan virus. Cara terbaik untuk memperolehi manfaat teh hijau sepenuhnya ialah dengan meminumnya setiap hari.  

  1. Cendawan

Yang uniknya tentang ramuan ini ialah setiap jenis cendawan mempunyai khasiat yang berbeza. Secara amnya, kebanyakan cendawan mengandungi sejenis polisakarid yang dikenali sebagai beta-glukan yang bersifat anti virus dan mampu membantu tubuh menangkis serangan virus dan radikal bebas. Cendawan juga mampu meningkatkan dan memperkuatkan sel darah putih yang berupaya melawan jangkitan dan penyakit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here