HARI akad nikah sememangnya hari yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang ingin mendirikan mahligai rumah tangga.
Tentunya mereka akan cuba memastikan segala persiapan tersusun cantik agar segalanya berjalan dengan lancar.
Namun, lain pula jadinya dengan pasangan pengantin dari Tanah Merah, Kelantan ini yang telah bersiap sedia untuk majlis akad nikah, mengahadapi situasi mencuit hati apabila Tok Kadi yang sepatutnya menyatukan mereka sebagai suami isteri pada hari itu, boleh pula terlupa.
Menerusi satu video berdurasi 10 saat yang tular di TikTok hari ini, pasangan ini bernasib baik apabila keluarga pengantin perempuan yang dalam perjalanan ke masjid bertembung dengan dengan Tok Kadi tersebut yang sedang menuju ke ladangnya.
Video berkenaan mendapat perhatian netizen dan mencapai 16 ribu tanda suka serta lebih 250 ribu jumlah tontonan.
Pengantin lelaki, Nik Mohd Afiq Nik Zainal, 24, berkata dirinya sudah terlebih dahulu ke Masjid Felda Kemahang 1, Tanah Merah, sekitar jam 8.30 pagi kerana akad nikah sepatutnya berlangsung pada jam 9 pagi.
Namun, dirinya hairan apabila menunggu agak lama di masjid dan Tok Kadi masih tidak muncul-muncul biarpun jam sudah menginjak jam 9.
“Kebetulan bakal isteri pada hari itu, makeup nya siap agak lambat. Sekitar jam 9.10 pagi, baru siap. Kebetulan keluar (untuk ke masjid) mereka berselisih dengan Tok Imam. Ayah isteri terus tanya hendak ke mana, dia cakap nak pergi ke ladang.
“Bila ingatkan dia perlu jadi Tok Kadi kami, dia terus tepuk dahi kerana dia langsung tak ingat kerana dia sangkakan majlis pada bulan Oktober. Dia pun tak terfikir untuk tengok surat yang kami bagi. Dia tengok tarikh sahaja. bulan dia terlupa,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.
Katanya, Tok Kadi yang dikenali sebagai Ustaz Humaizi itu terus berpatah balik ke rumahnya dah bersiap untuk menikahkan mempelai berkenaan.

“Nasib baik berselisih dengan tok imam, kalaulah tak berselisih, rasanya lama juga kena tunggu kerana bila masuk ladang, dengan talian tak berapa baik sangat, susah juga hendak telefon,” selorohnya.
Bagaimanapun, Nik Afiq tetap dinikahkan dengan isterinya, Tengku Nur Dini Tengku Muhammad, 24, pada hari itu biarpun terlewat sejam daripada jadual.
Nik Afiq sempat mengucapkan terima kasih kepada netizen yang sudi mendoakan kesejahteraan serta kebahagiaan mereka sebagai suami isteri dalam ruangan komen.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.