[VIDEO] Empat faktor utama pencetus keganasan rumahtangga di musim PKP

PENINGKATAN aduan kes keganasan rumahtangga sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara adalah disebabkan oleh kesan PKP terhadap empat aspek utama iaitu fizikal, psikologikal, ekonomi dan juga kesejahteraan sosial.

Pakar psikologi Pusat Kajian Psikologi & Kesejahteraan Manusia (Psitra), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Siti Marziah Zakaria berkata, keempat-empat aspek berkenaan berhubung kait antara satu sama lain.

Antara lain tambahnya, pelaksanaan PKP boleh membuka ruang kepada pendera untuk mendera mangsa kerana tetamu dan juga ahli keluarga yang lain sudah tidak dapat bertandang sepanjang perintah tersebut.

“Selain itu, ia disebabkan oleh tekanan psikologi yang boleh mendorong kepada tingkah laku agresif untuk melampiaskan tekanan tersebut.

“Punca lain adalah kerana konflik perkahwinan yang berkemungkinan disebabkan oleh sering bersemuka setiap hari di rumah dan PKP telah mengehadkan mereka untuk mempraktikkan mekanisme untuk mengatasi tekanan dalam masalah rumahtangga seperti keluar bersiar-siar atau berjumpa rakan-rakan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Marziah menambah, keganasan rumah tangga turut berpunca daripada suami penagih dadah yang berkecenderungan untuk melampiaskan rasa tidak puas hati mereka kepada ahli keluarga apabila tidak mendapat bekalan dadah sepanjang PKP.

Katanya, golongan wanita lebih terdedah kepada risiko ancaman keganasan rumahtangga jika dibandingkan dengan kumpulan lain.

“Sebab utama wanita lebih terdedah untuk menjadi mangsa adalah kerana mereka perlu berada di rumah lebih-lebih lagi sepanjang PKP. Jadi, apabila diarahkan untuk sentiasa berada di rumah,risiko mereka menjadi mangsa lampias amarah suami mereka adalah lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, terdapat beberapa kesan yang boleh menjejaskan mangsa keganasan rumahtangga termasuk kemurungan serta kerisauan melampau (anxiety).

“Kemerosotan emosi seperti stress, mudah menangis, cepat marah atau senang tersinggung akibat daripada kemurungan turut memberi kesan kepada anak-anak kerana mereka duduk sebumbung. Jadi, anak-anak juga akan tertekan apabila melihat ibu mereka gagal mengawal emosinya.

Antara lain katanya, keganasan rumahtangga turut memberi kesan besar dalam jangka masa panjang iaitu Post-Traumatic Syndrome Disorder (PTSD) yang merupakan kesan trauma daripada peristiwa buruk seperti penderaan fizikal, seksual, serta emosi jika di dalam aspek keganasan rumah tangga.

“PTSD ini akan menyebabkan trauma berpanjangan malah boleh memberi kesan sehingga bertahun-tahun. Trauma ini akan menjadi lebih teruk apabila terdapat pencetus yang mengingatkan mereka kepada peristiwa buruk seperti bunyi sesuatu jatuh dengan kuat dan sebagainya.

“Kesan lain berdasarkan kajian, adalah ‘self-harm’ atau cubaan untuk membunuh diri kerana pemikiran mereka lebih kearah yang tidak rasional setelah tidak tahan didera setiap hari.


Katanya, mangsa keganasan rumahtangga boleh menghubungi pertubuhan kerajaan dan juga buan kerajaan yang menawarkan bantuan sepert Sister in Islam (SiS), Women’s Aid Organisation (WAO) serta Talian Kasih.

Marziah turut menasihatkan agar mangsa keganasan rumah tangga untuk segera melaporkan kepada pihak polis.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada Khamis memaklumkan sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang PKP dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh Mac 2020 hingga Ogos lalu.–SB