Peguam Negara telah diminta gubal RUU antilompat parti

PEGUAM Negara telah diminta untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagaimanapun proses penggubalannya akan mengambil masa dan memerlukan kajian mendalam kerana membabitkan persoalan yang amat rumit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, apabila draf rang undang-undang itu siap, ia akan dibawa untuk dibincangkan dengan setiap Ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

“Kerajaan pun baru bermula, proses undang-undang ini bukan (mengambil masa) tiga hari bukan tiga minggu, ambil masa.

“Apabila siap draf rang undang-undang itu nanti, kami baca satu persatu…, saya akan tanya setiap orang,” katanya ketika penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab celahan Ahli Parlimen (PH) Puchong, Gobind Singh Deo mengenai komitmen kerajaan untuk melaksanakan rang undang-undang itu serta sama ada tindakan lompat parti akan dijadikan kesalahan jenayah atau tidak.

Beliau berkata Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah mengusulkan mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli-Ahli Parlimen 2021 yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini. – SB