[VIDEO] Bersatu yakin Pas bersama PN hadapi PRU-15

0
340

WALAUPUN telah menghadapi pelbagai cabaran sepanjang dua tahun penubuhan Perikatan Nasional (PN), pucuk pimpinan Pas tetap dilihat memberi sokongan terhadap gabungan berkenaan.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga setakat ini, pucuk pimpinan PAS dan ahli tertinggi parti itu tetap memberi sokongan kepada PN dengan menyertai mesyuarat gabungan itu.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, ini memberikan keyakinan kepada Bersatu bahawa Pas akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dalam PN terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Pada waktu permulaan pendaftaran PN, Pas adalah penajanya dan bersama-sama dalam PN sejak ia ditubuhkan, kemudian barulah parti lain menyertainya.

“Sehingga ke hari ini, saya lihat dalam semua mesyuarat yang kita adakan, presidennya dan semua wakilnya termasuk di peringkat pusat serta pucuk pimpinan Pas datang bersama, berbincang banyak perkara hal berkaitan kerajaan dalam gabungan parti PN,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor di Ibu Pejabat Bahagian Pagoh parti itu ada Jumaat 24 September 2021.

MUHYIDDIN ketika mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor di ibu pejabat bahagian Pagoh parti itu pada Jumaat, 24 September 2021. – SB

Turut hadir pada mesyuarat itu, Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ketua Penerangannyq, Mohd. Solehan Badri.

Dalam masa sama, Muhyiddin turut mengulas kecenderungan Pas ketika ini sama ada memilih untuk terus bersama PN atau Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRU-15.

Menurut beliau, partinya bersedia menerima sebarang keputusan dalam hala tuju kerjasama tiga parti utama Melayu iaitu UMNO, Bersatu dan Pas dalam PRU-15.

“Sekiranya mereka adalah sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika mereka bukan sebahagian daripada kita, kita menentang mereka dalam pilihan raya.

“Itulah prinsip yang menurut saya boleh diterima kerana pucuk pimpinan dan ahli-ahli kita begitu prihatin hal itu,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here