37,144 remaja sudah terima terima dos pertama, 1,892 dos kedua di Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEHINGGA semalam seramai 37,144 orang atau 10.3 peratus remaja berumur bawah 18 tahun di Johor telah menerima vaksinasi dos pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, seramai 1,892 orang pula (0.5 peratus) telah lengkap dos kedua.

“Bagi populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas pula, seramai 2,545,072 orang (92.5 peratus) telah menerima dos pertama dan 1,988,503 orang (73.3 peratus) telah lengkap menerima dos kedua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak berumur 12-17 tahun (PICK Remaja) di Johor telah bermula pada 20 September lalu.

Menurutnya, dianggarkan terdapat 359,900 remaja yang berumur 12 hingga 17 tahun di negeri ini dan sehingga kini seramai 304,695 remaja yang berumur 12-17 tahun telah mendaftar di aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, terdapat tiga kategori dalam pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 remaja iaitu pertama melalui janji temu MySejahtera
dengan kumpulan sasar adalah pelajar asrama penuh, sekolah pendidikan khas berasrama dan sekolah asrama harian.

Katanya, tarikh dan lokasi pemberian vaksin akan diberitahu kepada melalui aplikasi MySejahtera dan ibu bapa perlu mendaftar anak dalam MySejahtera sebagai tanggungan atau anak sendiri mendaftar di aplikasi MySejahtera.

Kategori kedua katanya, menerusi vaksinasi berjadual dengan kumpulan sasar adalah sekolah harian, sekolah pendidikan khas harian,
sekolah antarabangsa, ibu bapa akan dimaklumkan pihak sekolah jadual vaksinasi sekolah.

“Ini termasuk mereka perlu mambawa anak mereka untuk vaksinasi mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara kategori ketiga katanya, secara teruus atau ‘walk-in’ dengan melibatkan kumpulan sasar adalah remaja di institut pengajian awam dan swasta serta remaja yang tidak bersekolah.

“Remaja ini boleh walk-in ke mana-mana PPV di daerah-daerah yang telah ditetapkan bersama ibu bapa atau penjaga,” katanya. – SB