Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
SPRM teliti dokumen pindah wang MBI Kedah RM13 juta -

SPRM teliti dokumen pindah wang MBI Kedah RM13 juta

BEBERAPA dokumen berkaitan wang RM13 juta milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah yang dikatakan dipindahkan ke akaun di luar negara sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik laporan BH, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, dokumen itu diperoleh selepas pegawainya menemui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di pejabatnya semalam.

“Sebelum ini kita hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media sosial dan sumber luar sebelum SPRM berkunjung ke Pejabat Menteri Besar pagi semalam. Beliau memberi kerjasama yang baik.

“Kita sudah dapatkan beberapa dokumen penting berkaitan untuk penelitian awal, namun belum ada siasatan rasmi dibuat.
“SPRM juga belum terima sebarang laporan rasmi (berhubung pemindahan wang) daripada mana-mana pihak,” katanya, hari ini.

Pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin, Muhammad Sanusi mendakwa wang milik MBI berjumlah RM13 juta dipindahkan ke akaun luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih memegang jawatan Menteri Besar Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, wang berkenaan dipindahkan ke sebuah akaun bank di Kanada dan terdapat slip pemindahan masih disimpan pihaknya sebagai bukti.

Walau bagaimanapun, Mukhriz dalam sidang media semalam, meminta Muhammad Sanusi membuat laporan polis dan kepada SPRM berhubung dakwaan itu.

Mukhriz berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit kerana ia memberi gambaran buruk terhadapnya dan kerajaan negeri terdahulu ketika beliau menerajui Kedah.