RM3.51 bilion diperuntukkan kepada MARA

SEBANYAK RM3.51 bilion diperuntukkan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk perbelanjaan pembangunan dan mengurus bagi melaksanakan pelbagai program memanfaatkan Bumiputera.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jumlah itu diperuntukkan di bawah pelan pelaksanaan pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Di bawah RP1 RMKe-12, sebanyak RM3.51 bilion bajet pembangunan dan mengurus diperuntukkan kepada MARA bagi melaksanakan pelbagai program yang memanfaatkan 20,500 usahawan dan 171,533 pelajar di seluruh negara.

“Ini kerana MARA seperti yang kita ketahui menerajui pembangunan Bumiputera dan sentiasa memainkan peranan penting dalam mencorak transformasi sosio ekonomi melalui tiga sektor utama iaitu keusahawanan, pendidikan dan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.