JUMLAH mangsa banjir yang dipindahkan di Kuala Selangor meningkat kepada 177 orang, pagi ini.
Mereka daripada 58 keluarga dan enam kawasan yang ditenggelami air disebabkan fenomena air pasang besar di kawasan itu.
Bahagian Pengurusan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, fenomena air pasang besar sudah dijangka oleh pihak APM dan pihak mereka sudah bersedia menghadapinya.
“Disebabkan Monsun Timur Laut memang biasa hujung tahun, tetapi tahun ini agak sedikit awal iaitu pada bulan 9 dan 10, perkara ini sudah jadi kebiasaan kerana kami sudah tahu banjir akan berlaku, jadi kami sentiasa bersedia.
“APM merupakan salah satu agensi pengurusan bencana negara, kami sentiasa berhubung dengan Ketua Kampung, Pengerusi Jawatan Kuatkuasa (JKK) dan penduduk kampung, sekiranya ada banjir di kawasan kampung mereka, mereka akan maklumkan kepada kami,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Tambah Suzaini, bencana banjir yang berlaku di kawasan seperti Kampung Kuantan, Kampung Tanjong Siam Baharu, Jalan Datuk Ismail dan Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya tidak semestinya disebabkan hujan yang lebat atau berterusan.
“Kadang-kadang di sini tidak hujan lebat atau hujan berterusan, tetapi disebabkan hujan di kawasan hulu sungai, jadi ia akan mengalir terus di kawasan ini. Kebanyakan kawasan yang naik, ia berhampiran dengan sungai,” ujarnya.
Bagaimanapun sehingga kini, sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, SK Parit Mahang, SK Pasangan dan SK Sultan Abdul Aziz, Kampung Kuantan.
Fenomena berkenaan turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat, seorang warga emas yang menetap di Kampung Tanjong Siam bimbang banjir yang melanda kediamannya mengundang kehadiran buaya Sungai Selangor.
Hasnah Jalil, 68 tahun, berkata, rumahnya itu hanya terletak kira-kira 10 meter dari Sungai Selangor yang terkenal dengan habitat buaya.
Tambah Hasnah, biarpun kejadian ini tidak pernah berlaku, tetapi dia tetap bimbang akan kehadiran haiwan reptilia itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.