ANCAMAN monyet di kawasan kejiranan tidak seharusnya dipandang ringan jika kejadian di Taman Lestari Putra diambil kira.
Tiga hari lalu, seekor monyet di kejiranan berkenaan tular di laman Facebook setelah ‘menculik’ seekor anak anjing selama tiga hari.
Bagaimanapun, perkara itu berakhir apabila anak anjing berkenaan diselamatkan oleh seorang wanita serta adik perempuannya, bersama-sama seorang lelaki dan beberapa orang penduduk di kejiranan itu.
Wanita berkenaan, Cherry Lew Yee Lee, 27, menjelaskan bahawa dia bersama adiknya, Winnie Lew, sebenarnya bukan penduduk di kejiranan berkenaan, namun tinggal di Seri Kembangan kira-kira 15 minit dari kawasan perumahan tersebut dan bertindak untuk ke sana selepas melihat gambar yang tular di laman Facebook itu.
Menceritakan kembali bagaimana anak anjing itu diselamatkan, mereka hadir ke perumahan tersebut sebanyak dua kali sehari sebelum itu, namun percubaan untuk menyelamatkan anak anjing itu gagal dan memaklumkan perkara itu dalam kumpulan Facebook Taman Lestari Putra sebelum seseorang menghubungi seorang lelaki dikenali sebagai Francis yang telah beberapa kali menyelamatkan haiwan sebelum ini.
“Sebelum kami bertemu di sana, Francis meminta kami untuk ke sana lebih awal bagi mengenal pasti keberadaan kedua-dua haiwan tersebut kerana Francis tinggal agak jauh.
“Selepas kami mengenal pasti keberadaan monyet dan anak anjing itu, Francis sampai di sana dan kami mengambil masa untuk memerhati monyet tersebut sambil memikirkan cara untuk menyelamatkan anak anjing itu selama kira-kira 45 minit kerana kami juga tidak mahu menyakiti kedua-dua haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Namun, Cherry menyatakan bahawa monyet berkenaan berada agak tinggi di atas pokok dan ia tidak datang ke arah mereka dengan lebih dekat biarpun diumpan dengan roti dan pisang oleh salah seorang penduduk di kejiranan berkenaan.
Ketika itu, Francis memberitahu bahawa mereka tidak boleh menunggu lebih lama kerana risau dengan keadaan anak anjing itu yang mungkin kelaparan dan dikhuatiri mengalami dehidrasi.
“Francis kemudian mengambil keputusan untuk melempar mercun berdekatan dengan monyet itu bagi menakutkannya. Monyet itu terkejut dan pelukannya terhadap anak anjing itu terlepas dan anak anjing berkenaan jatuh ke dalam semak.
“Monyet itu kemudian lari ke dalam hutan. Jadi, kami tak dapat untuk menyelamatkan monyet itu. Kalau boleh kami nak selamatkan kedua-duanya sekali tapi sekurang-kurangnya anak anjing itu kini selamat,” ujarnya.

Cherry yang juga seorang jurutera perisian memaklumkan mereka turut menghubungi pihak bomba sehari sebelum itu, namun diberitahu bahawa perkara itu bukan di dalam bidang kerja mereka dan diminta untuk menghubungi pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ).
“Saya hubungi MBSJ, namun, pada waktu itu ia sudah melepasi waktu bekerja. Sangat bertuah seseorang menghubungi Francis untuk membantu kami.
“Tetapi kami tidak menyalahkan pihak bomba, mungkin mereka juga sibuk dan semestinya mereka perlu mengenal pasti bidang kerja mereka adalah jelas,” tambahnya.
Setelah menyelamatkan anak anjing berkenaan, dia bersama adiknya terus bergegas ke beberapa klinik haiwan bagi memastikan sekiranya anak anjing itu terdapat kecederaan namun semuanya berada dalam keadaan baik biarpun terdapat bengkak di bahagian kepalanya.

Cherry yang turut mempunyai empat ekor anjing peliharaan di rumahnya, mengambil keputusan untuk menjadika anak anjing itu sebagai haiwan peliharaan dan menamakannya sebagai Saru.
Katanya, Saru kini semakin pulih dan semakin aktif.
“Pada hari pertama selepas diselamatkan, Saru masih banyak menangis. Namun, pada hari kedua dia asyik tidur dan makan dengan baik ketika kami beri susu. Ia sangat comel, nakal dan aktif,”ujarnya.

Menurutnya lagi, dia ada bertanya kepada beberapa orang yang tinggal di kawasan kejiranan tersebut berkenaan dengan kes gangguan monyet di sekitar itu, namun mereka mengatakan bahawa sebelum ini tiada kes sebegitu.
“Saya tanya mereka samada terdapat kes gangguan monyet seperti menyerang orang atau masuk ke rumah orang dan curi makanan, mereka kata tiada.
“Mungkin monyet itu kesunyian kerana dia sahaja yang ada disitu. Mungkin kerana itu dia menculik anak anjing itu kerana kami boleh nampak ia cuba menjaga anjing itu dengan baik seperti memungut kutu dan sebagainya,” tambahnya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.