Tak boleh tergesa-gesa turunkan harga kit kendiri Covid-19

0
246

KEPUTUSAN untuk menurunkan harga kit ujian kendiri Covid-19 mesti dilakukan berdasarkan pertimbangan yang teliti dan bukannya dibuat secara tergesa-gesa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknhya perlu mengambil kira kepentingan pengguna dan industri bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

“Dalam masa kita memberikan perlindungan kepada pengguna agar mereka sentiasa sihat dan bebas daripada jangkitan Covid-19, kementerian perlu juga mengambil kira sudut pandangan industri yang berkaitan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan perniagaan mereka.

“Kementerian akan terus mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kesihatan (KKM), serta mengambil kira perbincangan dan pandangan pemegang taruh dalam industri kit ujian kendiri Covid-19 termasuk fasiliti farmasi dan klinik.

“Penelitian daripada segi kos pengeluaran dan pengimportan perlu juga diambil kira sebelum kita merumuskan harga maksimum yang baharu ,” katanya kepada Dewan Rakyat, hari ini, ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah).

Kee Chin meminta penjelasan sama ada kementerian terbabit akan menurunkan lagi harga maksimum kit pengujian kendiri secara berperingkat daripada harga siling yang ditetapkan pada RM19.90.

Disebabkan kit itu menjadi satu keperluan, Kee Chin berkata, penurunan harga secara berperingkat itu diyakini akan membolehkan lebih ramai rakyat mampu membelinya, khasnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Mengulas lanjut, Alexander berkata, sebanyak 2,261 premis, terdiri daripada 2,138 premis runcit dan 123 premis borong telah diperiksa sepanjang tempoh pemeriksaan dan pemantauan ke atas penjualan kit ujian kendiri itu yang bermula dari 5 hingga 20 September lalu.

Katanya, pada masa sama, 10 amaran telah dikeluarkan kerana menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Pada 2 September lalu, kerajaan mengumumkan untuk menetapkan harga maksimum bagi kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90 untuk jualan runcit manakala RM16 untuk harga pembelian secara borong. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here