Kerajaan jamin akan selesaikan segera isu doktor kontrak

0
164

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, pihaknya akan meneliti semua isu berkaitan pegawai kesihatan lantikan kontrak, serta berusaha mencari penyelesaian interim, diikuti penyelesaian yang lebih baik.

Beliau menyatakan komitmen itu selepas mengadakan pertemuan bersama Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak tengah hari tadi.

Ketika ini, terdapat kira-kira 23,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang dilantik secara kontrak di seluruh negara.

“Beberapa perkara telah dibangkitkan termasuklah kaedah penilaian prestasi bagi perjawatan tetap, peluang lanjutan pengajian dan masa hadapan kerjaya mereka.

“Saya telah berikan komitmen kepada mereka bahawa kementerian akan melihat setiap isu yang dibangkitkan serta akan berusaha mencari titik penyelesaian interim dan seterusnya ke arah penyelesaian yang lebih baik,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pertemuan secara maya itu turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada 26 Julai lalu, ratusan doktor kontrak menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Perhimpunan berkenaan berlaku serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di kementerian.

Sebelum itu, kerajaan mengumumkan kumpulan itu akan ditawarkan lanjutan kontrak dua tahun serta beberapa kemudahan termasuk melanjutkan pelajaran dengan penajaan.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here