Keganasan rumah tangga meningkat ketika pandemik Covid-19

0
544

KERAJAAN memandang serius krisis jiwa dan mental yang semakin meningkat sepanjang tempoh negara berdepan pandemik Covid-19, sehingga mencetuskan keganasan rumah tangga serta bunuh diri.

Sepanjang tempoh 17 bulan bermula Mac 2020 sehingga Ogos lalu, sebanyak 411 kes bunuh diri direkodkan.

Dalam tempoh yang sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga mengendalikan 1,578 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara, membabitkan 1,432 perempuan dan 146 lelaki.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya memandang serius terhadap krisis jiwa dan mental yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat.

“Pada masa yang sama, kajian tinjauan oleh kementerian mendapati, sokongan sosial adalah antara mekanisme untuk mengurangkan kadar tekanan yang dihadapi oleh mereka yang terkesan secara langsung oleh ancaman pandemik COVID-19,” katanya.

Rina berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini, menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar).

Katanya, dalam menangani krisis jiwa dan mental kerana kehilangan pendapatan, berjauhan daripada keluarga dan kegelisahan kesan wabak COVID-19, kementerian sudah mengambil beberapa tindakan bagi mendepani situasi ini.

  • Ia termasuklah menyediakan Khidmat Aduan Atas Talian melalui Talian Kasih 15999 atau aplikasi WhatsApp di nombor 019-2615999, sokongan kelangsungan hidup dalam bentuk pemberian bakul makanan dan bakul prihatin negara.
  • Kerajaan juga mempercepatkan bayaran Bantuan Kewangan Bulanan Persekutuan oleh JKM berjumlah RM1.5 bilion untuk menampung keperluan seramai 498,935 penerima bantuan

Dalam jawapan bertulis menjawab soalan Ahmad Hasan (WARISAN-Papar) pula, beliau berkata, setakat 9 September lalu, bilangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang sudah menerima vaksin adalah seramai 503,562 orang dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan seramai 375,482 orang menerima dua dos vaksin lengkap.

“Seramai 21,832 orang bagi Sabah yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 15,099 orang sudah menerima dua dos vaksin lengkap,” katanya menjawab soalan Ahmad yang mahukan bilangan penerima vaksin OKU di Sabah.

Sementara itu, menjawab soalan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) berkenaan kes wanita yang terpaksa melacurkan diri sepanjang pandemik, Rina berkata sejak berlaku pandemik COVID-19, pihaknya tidak menerima sebarang aduan, kes atau klien membabitkan wanita yang terpaksa melacurkan diri demi sesuap nasi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here