154 kanak-kanak yatim piatu akibat COVID-19

SERAMAI 4,422 kanak-kanak kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat COVID-19 dengan 154 daripada mereka menjadi yatim piatu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, sehubungan itu, pihak kementerian mengambil inisiatif memberi bantuan dan sokongan bagi menampung keperluan hidup mereka.

“Bantuan disalurkan melalui tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak daripada RM150 hingga RM1,000 sekeluarga.

“Selain itu, kita juga memberikan perkhidmatan kaunseling membabitkan kaunseling individu, berkelompok dan terapi psikologi,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau bagi menjawab soalan asal Hannah Yeoh (PH-Segambut) mengenai statistik jumlah kanak-kanak yang menjadi anak yatim akibat COVID-19 dan langkah kementerian dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak ini.

Rina berkata, kadar bantuan bulanan di bawah skim bantuan kanak-kanak dan bantuan pesakit terlantar kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menerima RM200 seorang bagi yang berusia di bawah tujuh tahun.

“Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas menerima bantuan RM150 seorang manakala kadar bantuan maksimum kanak-kanak turut dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 dan tidak mempunyai waris atau saudara-mara juga boleh ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdasarkan Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.