[VIDEO] Kejadian tanah runtuh Kemensah Heights

PENDUDUK Kemensah Heights, Ampang, Selangor pada hari ini gempar apabila berlaku satu kejadian tanah runtuh yang telah menjejaskan bahagian belakang tiga rumah banglo dan 16 rumah bandar (townhouse) kira-kira jam 9.30 malam, pada Jumaat.

Kejadian yang membabitkan 32 keluarga itu dipercayai akibat daripada pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada Jumaat jam 9.30 malam tadi sekaligus menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.

Tambah Razali, pihaknya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya memindahkan mangsa-mangsa di Dewan Orang Ramai.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melakukan tinjauan ke lokasi runtuhan berkenaan telah meminta pertimbangan dan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan bagi pembinaan cerucuk besi yang boleh menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan itu.

“Oleh kerana tanah ini adalah tanah persendirian, tetapi di dalam tragedi seperti ini saya mengambil pendirian bahawa kerajaan persekutuan akan bersama-sama kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk membantu penduduk-penduduk supaya insiden ini tidak berulang,” katanya.

Tambahnya, dimaklumkan sejumlah 16 rumah bandar yang berdekatan dengan kawasan tanah runtuh terbabit sedang menunggu laporan penuh teknikal untuk disiapkan Jabatan Mineral dan Geosains.

“Mereka memerlukan tiga hari untuk mengemukakan laporan teknikal samada kediaman ini selamat didiami atau sebaliknya.

“Tertakluk kepada laporan yang akan dikemukakan dalam tempoh tiga hari, sekiranya kediaman ini didapati selamat untuk didiami, penduduk-penduduk ini boleh pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya.—SB

a