Selepas berdialog, Muhyiddin turun padang dengar keluh kesah penduduk Langkawi

0
405

SELEPAS berdialog dengan pemain industri pelancongan Langkawi semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan program hari kedua lawatan kerja ke pulau itu dengan meninjau beberapa kawasan tumpuan ramai.

Seperti mana lawatan turun padang ke beberapa kawasan di Lembah Klang sebelum ini, lawatan hari ini juga bertujuan mendapatkan maklumat terus dan mendengar keluh kesah daripada rakyat di bawah.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata hari ini beliau sempat meninjau beberapa kedai yang telah dibuka terumatanya di sekitar kawasan tumpuan pelancong seperti Pantai Cenang.

“Rata-rata peniaga amat optimistik dan amat berharap pembukaan gelembung pelancongan ini dapat mengembalikan keadaan perniagaan di Langkawi seperti sedia kala sebelum negara di landa pandemik Covid-19.

“Saya sedar ramai yang terjejas teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. Rata-rata peniaga sudah kehabisan wang simpanan dan ramai pekerja dan pembantu kedai hilang pendapatan kerana perniagaan tidak beroperasi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata menerusi pertemuan ringkas itu, ramai peniaga berasa lega apabila kerajaan memberi kebenaran berniaga, sekali gus mengembalikan kestabilan ekonomi mereka.

“Mereka bersyukur kerana dapat menjalankan semula perniagaan selepas lebih lima bulan tidak beroperasi,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama Muhyiddin menasihatkan peniaga akur dengan syarat dan peraturan ditetapkan termasuk mengamalkan penjarakan sosial di antara pelanggan dan peniaga.

“Saya doakan penduduk serta pengunjung ke pulau legenda ini dilindungi, manakala sektor perniagaan kembali rancak dan semua yang terlibat dalam rantaian ini akan mendapat manfaat bersama, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu pada sebelah pagi, Muhyiddin berkesempatan untuk bertemu dua penduduk dan menyampaikan sumbangan bakul prihatin di Mukim Padang Matsirat.

Mohd Fazeli bin Mohd Fodzi di Kampung Paya Kuala Triang Mukim Padang Matsirat, masih muda namun penglihatannya terbatas akibat sakit pada selaput mata, selain dari itu beliau menghidap penyakit kencing manis menyebabkan kakinya sudah tidak dapat di selamatkan lagi. Fazeli masih bujang dan duduk di rumah bersama ibu bapanya, kata Muhyiddin.

“Saya juga menziarah Shukri bin Hasin yang sudah kehilangan perkerjaan apabila kehilangan kaki akibat penyakit kencing manis. Seperti Fazeli, Shukri juga sedang melalui antara dugaan hebat dalam kehidupan mereka.

“Shukri yang telah menjalani pembedahan memotong kaki kiri separas lutut akibat kencing manis. Sebelum ini beliau adalah seorang drebar Lori, sekarang Syukri tidak dapat berkerja, pendapatan terjejas, tapi itulah bapa, susah manapun tetap usaha untuk penuhi keperluan anak.

“Sesungguhnya kita tidak akan terlepas dari menghadapi dugaan dan ujian Allah SWT. Semoga setiap dugaan akan menjadikan kita seorang yang lebih tabah, sabar dan bersyukur kerana sesungguhnya ada rahmat dan nikmat di atas setiap yang berlaku hanya jika kita sentiasa beriman kepadaNya.

“Moga Allah permudahkan urusan saudara-saudara kita, insyAllah saya akan sentiasa cuba untuk membantu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here