Bantuan GKP 4.0 disalur mulai 21 September, kata PM

0
271

Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 yang melibatkan pembiayaan kewangan sebanyak RM500 juta akan disalur bermula 21 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dijangka bantuan tersebut bakal meringankan beban kewangan lebih satu juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar.

“Inisiatif ini melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP. Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September melalui Portal GKP iaitu https://gkp.hasil.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, ia sejajar komited kerajaan bagi menyokong sektor perniagaan khususnya PKS mikro.

Katanya, bayaran GKP 4.0 akan dibayar dua kali iaitu pada September berjumlah RM500 dan November (RM500).

Tambah Ismail Sabri, secara keseluruhan jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih sejuta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.

Perdana Menteri berharap bantuan ini dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri ini kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19.

“Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu aliran tunai,” jelasnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here