19 kediaman terjejas akibat tanah runtuh

0
257

SEBANYAK 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga di Kemensah Height, Ampang, Selangor terjejas susulan tanah runtuh, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 9.33 malam.

Sepasukan anggota bomba bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berkenaan.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah di kawasan terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Norazam berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini pihak bomba mengarahkan 28 keluarga berkenaan supaya keluar dari rumah masing-masing ke pusat pemindahan sementara.

Tambah beliau, kejadian tanah runtuh berkenaan difahamkan berlaku susulan hujan pada petang semalam. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here