SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas mandi bersama sekumpulan rakannya di Tasik Cermin, Puncak Perdana semalam.
Difahamkan, mangsa tersebut terperangkap di lumpur dasar tasik dekat tebing berhampiran kawasan perumahan Nusa Rhu di Jalan Pulau Angsa U10/32 ketika ditemui.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Norazam Khamis dalam satu makluman ringkas memberitahu, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 4.08 petang semalam.
Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba 17 minit kemudian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Seorang remaja lelaki lemas semasa mandi di tasik. Mangsa berjaya dijumpai oleh anggota bomba pada pukul 4.49 petang. Mangsa terperangkap di dalam lumpur berhampiran tebing dan dipercayai meninggal dunia,” katanya.
Tambah beliau, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri terperangkap di dasar tasik pada kedalaman air kira-kira empat meter.
“Anggota operasi bertindak membuat pencarian melalui water surface dan membuat selaman. Mangsa berjaya dijumpai pada pukul 4.33 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) Meru dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan,” jelasnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.