PEMBUKAAN sektor pelancongan domestik secara berperingkat mengikut fasa jelas memberikan sinar baharu buat penggiat industri berkenaan, terutamanya industri perhotelan.
Pemilihan Pulau Langkawi sebagai projek rintis gelembung pelancongan merupakan berita gembira bukan sahaja kepada penggiat industri di Langkawi, malah, ia juga menjadi sinar harapan buat penggiat industri di Malaysia yang lama terjejas teruk berikutan penutupan hotel sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Menurut seorang penggiat industri perhotelan di Malaysia, Pengurus Apple Hotel Shah Alam, Selangor, Mimi Syaqirah Rosli, 28, pembukaan Langkawi itu sememangnya menjadi sinar harapan buat penggiat industri perhotelan di Malaysia.
“Sememangnya pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi memberi sinar harapan kepada kami sektor pelancongan yang lain, jika program ini berjaya, nescaya ada harapan untuk kami naikkan semula butik hotel kami.
“Walaubagaimanapun, semuanya perlu dilaksanakan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat untuk keselamatan semua pihak,” katanya ketika dihubungi wartawan SatuBerita.
Mimi turut berkata, walaupun mereka menghadapi cabaran untuk menstabilkan ekonomi hotel dan jualan bilik, bantuan daripada kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu mereka.
“Dua tahun ini adalah sangat mencabar untuk Apple Hotel untuk menstabilkan ekonomi dan jualan bilik, jadi, antara inisiatif yang kami lakukan adalah memohon bantuan kerajaan yang diberikan seperti Program Subsidi Upah.
“Bantuan ini sedikit sebanyak telah banyak membantu hotel dari terutamanya dari segi bayaran gaji pekerja,” katanya.
Tambah Mimi, industri perhotelan kebanyakannya “sudah nyawa-nyawa ikan” akibat pandemik ini dan bantuan daripada kerajaan seperti Program Subsidi Upah amat diperlukan untuk menghidupkan kembali perniagaan mereka.
Sementara itu, Pengurus D Nelayan Beach Resort, Melaka, Muhammad Zulhilmi Zakaria berkata, dengan pembukaan sektor pelancongan di Langkawi, industri perhotelan kini boleh menarik nafas lega.
“Kalau ikutkan masa pandemik ni, memang tak ada penginap langsung, nak harapkan penginap daripada frontliner memang tak ada sebab kawasan kami memang kawasan tepi pantai, jauh daripada hospital dan tempat-tempat kerja lain.
“Bila kita tengok sektor pelancongan di langkawi sudah dibuka, itu adalah satu berita positif untuk sektor pelancongan, kita boleh tarik nafas lega,” ujarnya.
Semalam, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, di bawah pakej rangsangan ekonomi yang telah beliau umumkan sejak Mac 2020, lebih RM249.7 juta telah dimanfaatkan oleh rakyat dan perniagaan di Pulau Langkawi.
“Antaranya, Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) sebanyak RM19 juta telah diberikan kepada 24,058 penerima dan Program Subsidi Upah sebanyak RM182.3 juta kepada 1, 522 majikan yang memanfaatkan 31, 852 pekerja.
“Sebanyak RM386,500 juga telah diberikan kepada 773 pemandu teksi dan bas, manakala sejumlah RM35,400 telah diberikan kepada 59 pengusaha inap desa,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.