VETERAN DAP Lim Kit Siang hari ini merayu Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani MoU persefahaman dengan kerajaan.
Menurut beliau, melalui MoU tersebut, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, mengatakan gencatan senjata politik perlu dilaksanakan dalam tempoh 10-18 bulan akan datang.
Kit Siang berkata, ini menjadikan langkah menandatangani MoU itu adalah demi masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia.
“Kami ingin memenuhi Impian Malaysia; untuk negara ini menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk menunaikan hasrat Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman agar Malaysia menjadi ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’.
“MoU CSR yang ditandatangani antara Ismail dan pemimpin PH memberikan peluang bersejarah untuk menetapkan semula hala tuju negara ini ke arah pemulihan ekonomi dan sosial dalam era pasca-Covid-19 selain menyelamatkan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media yang diedarkan hari ini.
Menuru5 Kit Siang, Malaysia tidak boleh berakhir sebagai negara gagal ekoran amalan kleptokrasi atau kakistokrasi, mengatakan MoU tersebut tidak bermaksud tiada lagi blok pembangkang di Parlimen.
Terdahulu, Warisan bertindak menolak Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang, mendakwa mereka tidak dilibatkan dalam rundingan yang disifatkan sepihak antara kerajaan dan gabungan Pakatan Harapan (PH).
Selain Warisan, Pejuang juga turut menolak MoU tersebut mengatakan PH hanya meminta pihak mereka bersetuju dengan keputusan rundingan sepihak antara kerajaan dan gabungan itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.