Bukan kami yang cemarkan Sungai Gong

0
326

SEBUAH bengkel yang menyebabkan gangguan bekalan air hingga menjejaskan lebih sejuta pengguna di Lembah Klang tahun lalu mendakwa mereka tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran di Sungai Gong.

Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd menafikan telah membuang sisa berbahaya ke dalam sungai sebagai jawapan kepada saman secara “class action” oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju daripada PKR, Tan Yee Kew dan 809 penduduk lain.

Mereka berkata, syarikat itu telah melantik dua kontraktor untuk menguruskan sisa buangan selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual).

Tan dan penduduk berkenaan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap syarikat terbabit, pihak berkuasa negeri dan kerajaan persekutuan berhubung gangguan bekalan air di Lembah Klang yang berlarutan selama empat hari bermula 3 September tahun lalu.

Seramai 810 plaintif mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa Yip Chee Seng & Sons bertanggungjawab atas kecuaian dan mengisytiharkan bahawa pihak berkuasa awam termasuk negeri dan kerajaan persekutuan, telah melanggar tugas statutori dalam mengekalkan tahap kualiti air.

Mereka turut menuntut ganti rugi kerana terjejas teruk akibat gangguan bekalan air itu.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah menteri besar, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Air Selangor dan sebuah syarikat, Pakar Pakar Scieno TW Sdn Bhd turut dinamakan dalam saman berkenaan.

Yip Chee Seng & Sons turut menjelaskan bahawa denda berjumlah RM60,000 yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap mereka adalah tidak berkaitan dengan pembuangan sisa berbahaya.

“Denda itu adalah kerana tidak menyatakan sisa yang dibuang,” katanya.

Syarikat bengkel itu turut mendakwa saman terbabit adalah tidak berasas dan mereka tidak harus dipertanggungjawabkan.

Katanya, penduduk dinafikan hak mendapatkan bekalan air bersih adalah “kerana kegagalan pihak berkuasa dalam menguruskan sumber air”.

“Jika saman ini dibenarkan oleh mahkamah, kita bimbang ia akan ‘membuka ruang’ untuk penduduk di Lembah Klang yang lain untuk memfailkan kes mereka di mahkamah,” katanya.

Empat pengarah dan seorang pengurus Yip Chee Seng & Sons’ didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang tahun lalu atas dakwaan membuang bahan buangan berbahaya ke dalam sungai terbabit.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mereka diikat jamin sebanyak RM400,000 setiap seorang dan sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here