HUJAN lebat dari semalam menyebabkan banjir sekali gus membabitkan seramai 68 mangsa iaitu 27 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah pagi ini.
Setakat pukul 8 pagi tadi, dua daerah terjejas banjir adalah Penampang dan daerah Putatan, Sabah.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, Penampang mencatatkan seramai 39 orang mangsa banjir daripada 21 keluarga.
“Jumlah berkenaan sekaligus mencatatkan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS tertinggi setakat ini dan semua mangsa di daerah Penampang kini ditempatkan di PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan.
“Selain itu, 29 mangsa membabitkan sembilan keluarga turut berada di dua PPS untuk daerah Putatan.
“Seramai 26 mangsa banjir daripada lima keluarga berada di PPS Dewan Sri Serigai manakala tiga penduduk terjejas daripada satu keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sri Keramat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, ia berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu sehingga boleh mengakibatkan berlakunya bencana alam.
Dalam pada itu, Jurucakap APM Sabah menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dengan situasi banjir serta tanah runtuh di seluruh negeri ketika ini.
Sementara itu menerusi satu hantaran di laman Facebook, Polis Daerah Penampang, menunjukkan keadaan di IPD Penampang setakat 8 malam, semalam.
Katanya menerusi hantaran itu, pihak IPD Penampang berharap keadaan kembali seperti sedia kala dan masyarakat di Daerah Penampang, Putatan dan daerah-daerah lain amnya dijauhkan daripada sebarang musibah atau bala bencana.
Semalam, berlaku satu kejadian tanah runtuh di Segumau Madsiang, Jalan Penampang-Tambunan dan difahamkan beberapa rumah dan kenderaan terjejas akibat tanah runtuh itu.
Hujan lebat yang berterusan menyebabkan sistem perparitan dipenuhi air hingga menyebabkan kawasan sering berlaku banjir kilat mula dinaiki air. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.